Akhirnya trofi Euro 2020 tiba di Rome
TROFI Euro 2020 akhirnya selamat tiba di Rome dengan diiringi kesebelasan Itali yang menewaskan England 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan pada aksi final di Wembley pada Ahad.
Sejurus pesawat yang dinaiki tiba di Rome, kapten Azzurri Giorgio Chiellini dan pengendali Roberto Mancini menjulang trofi berkenaan selaku juara piala paling berprestij dalam arena bola sepak Eropah itu.
"Pemain saya sangat menakjubkan, saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan. Ini sangat penting untuk semua orang dan penyokong Itali.
"Kami beraksi dengan baik. Kami bolos gol awal dan bergelut tetapi kami dapat menguasai permainan," kata Mancini.
Pada aksi final berkenaan, Itali yang ketinggalan seawal minit ke-2 hasil jaringan pemain England, Luke Shaw, mempamerkan kebangkitan dramatik dengan menyamakan kedudukan menerusi Leonardo Bonucci pada minit ke-67 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti.
Pada penentuan sepakan penalti berkenaan, gol England, Jordan Pickford menyelamatkan dua sepakan daripada Andrea Belotti dan Jorginho manakala penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma menyelamatkan tiga sepakan penalti daripada tiga pemain gantian, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan sepakan terakhir daripada Bukayo Saka yang sekali gus mengesahkan kemenangan Azzurri.
Kemenangan berkenaan adalah kejuaraan Eropah kedua buat Itali setelah kali terakhir melakukannya pada edisi 1968 dan sekali gus menebus kekecewaan mereka gagal layak ke saingan Piala Dunia 2018 lalu.
Sementara itu, ketiga-tiga pemain England Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka yang gagal menyempurnakan penalti dikecam hebat dengan penghinaan berunsur perkauman di media sosial oleh penyokong mereka sendiri.
Situasi berkenaan turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson yang mengecam tindakan penghinaan berkenaan.
"Pasukan ini layak bergelar wira dan bukannya dihina secara perkauman di media sosial. "Mereka yang melakukan tindakan ini sepatutnya malu,” katanya.
Sementara itu, pengendali Three Lions, Gareth Southgate menyifatkan tiada pemain yang perlu dipersalahkan kerana gagal menyempurnakan penalti pada aksi final berkenaan.
“Saya yang memilih pemain untuk mengambil penalti. Bagi saya, tiada siapa yang perlu dipersalahkan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya.
"Namun, kami menang dan kalah bersama. Mereka boleh berbangga dengan pencapaian ini. Pemain saya sudah melakukan lebih banyak berbanding mereka yang lain dalam tempoh 50 tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!