Olimpik Tokyo: Dua atlet Pulau Pinang terima insentif RM10,000
PULAU Pinang memutuskan untuk memberi Insentif Galakan sebanyak RM10,000 seorang kepada dua atlet negeri itu yang bakal mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, insentif itu sebagai galakan untuk mendorong pemain badminton, Chan Peng Soon dan atlet gimnastik artistik, Jeremiah Loo Phay Xing meraih kejayaan di Tokyo.
“Saya percaya kejayaan mereka ini dapat mencetuskan sedikit sebanyak semangat, impian dan hasrat kita untuk melestarikan pembangunan sukan berprestij tinggi dan memperkasakan peranan dan bakat modal insan dalam menjayakan Visi Penang2030.
“Walaupun Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih belum lagi bermula dan pemenang masih tidak diketahui, namun intipati pentingnya adalah usaha dan kejayaan mereka untuk mewakili negara.
“Negeri Pulau Pinang telah pun menyemarakkan semangat kesukanan dan harapan rakyat untuk mengecapi pingat emas yang pertama demi negara Malaysia,” katanya.
Peng Soon dan Jeremiah merupakan dua daripada 30 atlet mewakili Malaysia ke temasya yang berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!