Perjanjian pelarasan pinjaman bersifat adil kepada Felda, peneroka
SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjelaskan bahawa Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka berkaitan pelupusan sebahagian pinjaman peneroka adalah bersifat adil kepada kedua-dua pihak.
Menurut satu notis pengumuman penting di Facebook Felda, agensi itu bersetuju menghapuskan sebahagian hutang peneroka sehingga 31 Disember 2019.
“Penghapusan ini berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda.
“Peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada Felda dan membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan.
“Melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan oleh Felda,” kata notis pengumuman itu pada Isnin.
Pada hantaran sama, Felda memaklumkan bahawa objektif utama perjanjian sempena Hari Peneroka Felda 2021 itu adalah bagi menerapkan kebersamaan dengan peneroka melalui sistem pengurusan ladang yang lestari.
Kata Felda, inisiatif tersebut secara langsung akan memberi manfaat kepada warga peneroka terutama dari segi pendapatan.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.
Kata beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.
Surat perjanjian tersebut tular di media sosial dan menimbulkan beberapa kekeliruan serta pertikaian sesetengah pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!