Ujian saringan dua kali seminggu tak praktikal
SHAH ALAM - Melaksanakan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali seminggu bagi pekerja sektor perkilangan dan pembuatan adalah tidak praktikal kerana ia bukan penyelesaian terbaik menurunkan kes kluster kilang.
Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepatutnya terlebih dahulu merujuk kepada pakar kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada ia logik untuk melakukan ujian saringan berkenaan atau sebaliknya.
“Kalau kita buat ujian saringan, ia memerlukan masa dalam tempoh 14 hari. Jadi, kalau dibuat setiap minggu, maknanya tak sampai tujuh hari kena buat ujian sekali lagi. Ini tak logik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, syarat berkenaan hanya akan menyusahkan lagi pihak majikan dan pekerja untuk jangka masa panjang.
“Dalam keadaan sekarang, majikan beroperasi dalam keadaan pandemik. Masing-masing menghadapi masalah aliran tunai.
“Pada masa sama, kos untuk melakukan ujian saringan juga perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah pekerja,” jelasnya.
Beliau berkata, MITI juga sepatutnya berbincang dengan majikan dan wakil-wakil pekerja bagi meminta pandangan dan solusi terbaik untuk menangani kes Covid-19 dalam kalangan pekerja.
“Adakah dengan membuat ujian saringan ini ia mampu menurunkan kadar kes jangkitan Covid-19. Kita tengok kluster kilang paling banyak, tapi kita benarkan mereka beroperasi.
“Pihak MITI kena tengok kilang-kilang di Selangor ini semula. Kebenaran sepatutnya hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul perkhidmatan perlu sahaja, maknanya keperluan utama dalam negara kita.
“Bukannya apabila majikan merayu, kita bagi terus mereka beroperasi,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!