Hadiah boleh jadi umpan rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan individu tidak menyedari bahawa hadiah yang diterima daripada pemberi ada kala menjadi umpan rasuah.

Seorang awam yang bekerja sendiri, Mohd Safwan Ab Ghani, 34, berpandangan, pemberi rasuah biasanya mempunyai niat seperti udang di sebalik batu dan menjadikan pemberian hadiah sebagai umpan untuk menjerat individu sasaran.

“Pemberian hadiah memang perkara biasa seperti ketika hari jadi atau meraikan persahabatan tetapi boleh menjadi cerita lain jika ia diberikan dalam jumlah yang besar atau penerima mendapat barang berharga.

“Pemberian atau penerimaan hadiah ada had. Misalnya, kalau diberikan oleh individu tidak dikenali dalam kadar tidak berpatutan, ia perlu difikirkan. Mungkin ia rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Safwan, pemberian hadiah daripada pihak atau individu sama ada dikenali atau tidak dikenali adalah titik permulaan berlakunya rasuah.

“Rasuah sudah jadi perkara biasa dan amalan bagi segelintir masyarakat. Bagi memastikan matlamat tercapai, biasanya mereka sanggup berbuat apa sahaja,” katanya.

Mohd Safwan berkata, diharap kempen Rasuah Busters yang digerakkan oleh Sinar Harian dapat membantu memerangi rasuah secara habis-habisan.

Sementara itu, muazin Masjid Kariah Batu 10 Cheras, Kuala Lumpur, Zulkarnain Khairi, 45, berpendapat bahawa hampir setiap hari masyarakat dipaparkan dengan laporan berita mengenai tangkapan akibat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Situasi ini menunjukkan betapa gejala rasuah semakin membimbangkan.

“Golongan terlibat dengannya perlu dibanteras dari akar umbi kerana ia boleh meruntuhkan institusi agama, keluarga, masyarakat dan negara.

“Rasuah juga boleh menyebabkan golongan tertentu ditindas,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan wajar menggubal hukuman lebih keras terhadap individu terlibat rasuah.

Bagi seorang suri rumah, Azyyati Azmin, 36, pihak berkuasa wajar menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai agenda utama negara.

“Fokus kepada penguatkuasaan pada skala optimum. Ambil tindakan tegas tak kira kepada siapa dan jangan ada sekelumit perasaan pilih kasih.

“Saya yakin jika rakyat semua sepakat dan siasatan dilakukan dengan telus, Malaysia mampu menjadi antara negara yang rendah kadar rasuah,” tegas Azyyati.

Pemberian hadiah daripada pihak atau individu sama ada dikenali atau tidak adalah titik permulaan berlakunya rasuah.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!