Lelaki bakar dua kereta keluarga mentua ditahan
JEMPOL - Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di tepi jalan di Bahau selepas dipercayai membakar dua buah kereta dalam satu kejadian di Kampung Indah, Bahau awal pagi Isnin.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang ibu tunggal berusia 47 tahun yang juga ibu mentua suspek pada jam 9.37 pagi Isnin yang melaporkan kereta jenis Perodua Kancil dan Satria dibakar oleh suspek.
"Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, ketika mangsa berada di hadapan pintu rumah melihat suspek sedang mencurah minyak ke atas kain lalu membaling kain tersebut ke arah kereta Perodua Kancil dan terbakar di bahagian luar tangki minyak.
"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran mangsa, suspek bertindak melarikan diri dan pada masa sama sebuah kereta Satria yang berada di garaj turut terbakar," katanya selepas mengesahkan laporan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, api pada kenderaan itu kemudiannya berjaya dipadamkan oleh anak lelaki mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis.
"Mangsa mendakwa tidak mengetahui punca menantunya bertindak sedemikian bagaimana pun sehari sebelum kejadian dia (suspek) ada berselisih faham dengan isterinya dan isterinya itu telah membuat laporan polis.
"Suspek seterusnya berjaya ditahan pada hari kejadian di tepi jalan sekitar Bahau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kereta Perodua Kancil itu adalah milik ibu kandung mangsa manakala kereta Perodua Satria berkenaan milik kakak ipar mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!