Hubungan Poland-Malaysia terus kukuh

Malaysia Poland
Malaysia Poland
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan Poland-Malaysia terus berkembang bersama dengan negara ASEAN yang lain, kata Duta Poland ke Malaysia, Profesor Krzysztof Dębnicki.

Dalam wawancara eksklusif sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 Warsaw-Kuala Lumpur tahun ini, beliau berkata, di peringkat awal kedua-dua negara mempunyai ideologi berbeza tetapi sejak hubungan terjalin banyak perubahan berlaku.

Kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 21 Jun 1971,

"Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar Poland di ASEAN dan perdagangan kita terus berkembang. Poland berharap hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan kukuh dengan Malaysia ini demi untuk kepentingan kedua-dua negara.

"Hubungan kita bertambah erat pada 1990-an dan 2000-an, menyaksikan banyak kunjungan di peringat tertinggi dan peningkatan ketara dalam dagangan dua hala serta hubungan antara rakyat.

“Ia diperkukuhkan lagi terutama di bidang perdagangan dengan penubuhan pejabat MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) di Warsaw dan Pejabat Perdagangan Luar Negeri Poland di Kuala Lumpur," katanya.

Meskipun kedua-dua negara turut dilanda pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu, beliau berkata, jumlah dagangan dua hala Poland-Malaysia di landasan positif.

"Kekukuhan hubungan komersial kedua-dua negara bermula sejak sebelum wabak, anda mungkin terkejut mengetahui bahawa perdagangan dua hala mencatatkan rekod pada 2020," kata Dębnicki.

Artikel Berkaitan:

Menurut statistik Poland, nilai dagangan barang dua hala meningkat sekitar AS$1.22 bilion pada 2019 kepada lebih AS$1.5 bilion pada 2020. Poland adalah pembeli utama minyak sawit Malaysia di Eropah.

Poland, dihuni sekitar 38 juta penduduk, walaupun mengalami pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.8 peratus pada 2020, kini ia diunjur tumbuh lebih lima peratus pada 2021.

Menurut Dębnicki, pelaburan Poland di Malaysia dan sebaliknya, menunjukkan potensi memberangsangkan.

Beliau berkata, ekonomi Poland mengalami perkembangan pesat dalam banyak bidang dan kini sedang mempelopori bidang penyelesaian teknologi inovatif.

"Selain industri permainan video Poland, pelabur juga boleh menumpukan kepada sektor lain berkaitan keselamatan siber, FinTech, bandar pintar, dron, teknologi hijau, teknologi air, MedTech dan AgriTech.

"Di semua bidang ini, kami memiliki solusi konkrit dan inovatif yang saya percaya dapat membantu mengatasi banyak masalah di Malaysia. Banyak syarikat Poland kini sedang mengintai peluang untuk memperkenalkan teknologi mereka ke pasaran Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Debnicki optimis, bahawa minyak sawit adalah minyak paling banyak diimport ke Poland dan Malaysia adalah pengeksport utama komoditi ini ke negaranya, baik mentah mahupun yang bertapis.

"Berdasarkan trend semasa, pada hemat saya memandangkan Poland kini menuju ke fasa pemulihan pandemik, permintaan kita cenderung untuk lebih meningkat," katanya.

Selain minyak lain, minyak sawit biasanya digunakan dalam industri makanan, kimia dan kosmetik.

Menurut data disediakan Agensi Perangkaan Poland (GUS), nilai import minyak sawit Malaysia dari Poland meningkat dari 2.79 juta (lebih RM3 juta) pada 2018 menjadi 17.69 juta PLN (lebih RM19 juta) pada 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendidikan adalah satu lagi bidang kerjasama penting, dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan bilangan penuntut Malaysia melanjutkan pengajian di Poland.

Dębnicki berkata, kini kedua-dua pihak sedang berusaha untuk menyelesaikan perjanjian persefahaman (MoU) Poland-Malaysia mengenai pendidikan tinggi.

Memetik data, lebih 1,000 rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian di Poland dan pada 2019, kedutaan menganjurkan edisi pertama "Malaysian Alumni of Polish Universities 'Get-Together" di Kuala Lumpur.

Duta itu berkata, walaupun terdapat sekatan pandemik, kira-kira 200 penuntut Malaysia belajar di Poland dan negara ini menyaksikan peningkatan minat dalam kalangan belia yang ingin menyambung pengajian di politeknik dan universiti lain.

"Saya percaya tawaran untuk rakyat Malaysia semakin menarik kerana pendidikan tinggi Poland dapat memberikan kursus berkualiti tinggi dalam bahasa Inggeris dan kerana kos hidup di Poland lebih menarik berbanding negara Eropah lain," katanya.

Menyentuh topik penting lain, Dębnicki bersetuju bahawa Poland sangat mementingkan kerjasama pertahanan dengan Malaysia dan berharap hubungan ini terus berkembang.

Dalam hal pertahanan, satu daripada aspek hubungan Poland-Malaysia yang patut diberi perhatian penting adalah kerjasama pendidikan ketenteraan, termasuk pertukaran pelajar.

Selain itu, pasaran peralatan pertahanan Malaysia menarik minat industri pertahanan Poland dengan menawarkan peralatan moden dan berkualiti dengan harga berpatutan.

Ujar duta itu, pelancongan satu daripada peluang besar untuk meningkatkan hubungan antara rakyat dan menurut data, ketibaan pelancong Poland ke Malaysia menunjukkan trend peningkatan, mencapai sekitar 25,000 pengunjung pada 2019, sebelum pandemik melanda.

"Ini mengagumkan memandangkan kurangnya penerbangan langsung antara kedua-dua negara kita. Berdasarkan tren pasca pandemik dan dengan mempertimbangkan peningkatan pendapatan boleh guna di Poland, pendapat saya lebih ramai rakyat Poland akan melihat Malaysia sebagai destinasi percutian yang berpotensi," katanya.

Mengimbau sejarah pula, Dębnicki menjelaskan walaupun Poland dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1971, tetapi hubungan kedua-dua negara sudah mula terjalin pada abad ke-17 ketika mubaligh - Wojciech Męciński tiba di Semenanjung Tanah Melayu.

Sehingga kini, Kedutaan Poland di Malaysia aktif mengatur pelbagai acara termasuk budaya, seminar, festival makanan dan konsert.

Maklumat lanjut mengenai ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik boleh layari laman web www.PL50MY.com. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!