35 individu jalani ujian saringan positif Covid-19
GEORGETOWN - Seramai 35 daripada 1,695 individu yang menjalani ujian saringan pada Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang disahkan positif wabak itu.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeeep Singh Deo berkata, kesemua yang positif itu tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan.
Menurut beliau, jumlah mereka yang positif itu dikesan di tiga lokasi PSC-19 yang dijalankan sebelum ini selama tiga hari iaitu di Stadium Bandaraya, Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony di Seberang Jaya dan Dewan Besar Sungai Dua.
"Pelaksanaan PSC-19 ini adalah usaha untuk kita mengesan mereka yang positif, namun tiada gejala. Apabila kita dapat mengesan mereka ini di dalam komuniti, maka kita dapat menghalang wabak ini merebak.
"Kalau dalam program PSC19 ini kita berjaya saring satu kes Covid-19, kita dapat pastikan 100 kes lain tidak berlaku kerana mereka yang dikesan positif akan segera diasingkan supaya ia tidak merebak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jagdeeep berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut menjalankan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) terhadap mereka yang positif untuk tujuan pengesahan.
"Kesemua keputusan ujian saringan yang dilaksanakan dijangka akan diperoleh dalam tempoh 48 ke 72 jam.
"Semua individu yang disahkan positif dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing sehingga keputusan ujian PCR diperoleh," katanya.
Mengulas mengenai lokasi PSC-19 yang seterusnya, beliau berkata, empat kawasan di bahagian pulau telah dikenalpasti bagi menjalankan program tersebut.
"Empat lokasi itu adalah Padang Taman Kejiranan Maccalum; Kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Bayan Lepas, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak dan Dewan MPKK Sungai Dua di Batu Uban.
"15 Julai di Padang Taman Kejiranan Maccalum, 16 Julai di Kompleks MBPP di Bayan Lepas, 17 Julai di SK Padang Tembak, manakala 18 Julai di Dewan MPKK Sungai Dua di Batu Uban," katanya.
Sebelum ini, PSC-19 yang dilancarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Stadium Bandaraya Pulau Pinang bertujuan bagi mengenalpasti dan mengasingkan individu pembawa Covid-19 seterusnya mengawal perebakan virus tersebut.
Objektif itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 dengan memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti.
Program tersebut melibatkan keseluruhan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kos RM3 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!