[VIDEO] Bekas pegawai tentera didakwa tipu kontrak selenggara pusat latihan
JOHOR BAHRU - Seorang bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan meminta imbuhan sebanyak RM8,500 bagi mendapatkan kontrak penyelenggaraan di sebuah Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) lima tahun lalu.
Tertuduh Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan seorang lelaki berusia 37 tahun kononnya boleh mendapatkan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasalitas infra latihan membabitkan Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Infra Mekanikal Pulada dan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal Lapang Sasar Pulada.
Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM8,500 secara perbankan dalam talian ke sebuah akaun bank tempatan miliknya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 hingga 12 Februari 2016 di sebuah bank tempatan di Kampung Masjid Lama, Kluang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakili Peguam Abdul Rashid Tasin.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos depan bagi sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!