Vaksin bergerak bantu OKU capai imuniti kelompok
PASIR PUTEH - Perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah mampu menjadi solusi terbaik bagi meningkatkan imuniti kelompok Orang Kelainan Upaya (OKU) di Parlimen Pasir Puteh.
Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, ada OKU khususnya yang terlantar sukar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan.
"Kebanyakan yang hadir hari ini (Selasa) adalah mereka yang berdaftar dengan PDK namun saya percaya masih ramai OKU terlantar belum menerima suntikan.
"Kemudahan suntikan bergerak mampu mempercepatkan perlindungan untuk golongan berkenaan," katanya ketika ditemui di Program Vaksin Covid-19 untuk OKU dan penjaga OKU serta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPV Masjid Mukim Padang Pak Amat, di sini pada Selasa.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan,Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.
Sementara itu, Maziani Mohd Ghazali, 55, gembira apabila anaknya, Nur Hidayah Wahida Mat Luwi, 30, yang menghidap Sindrom Down menerima suntikan vaksin.
"Alhamdulillah, Norhidayah tidak bimbang apabila mendapat tahu dia akan disuntik hari ini.
"Dia bangun seawal jam 6.30 pagi untuk menerima suntikan dan sering membuat isyarat seperti akan dicucuk di bahu kerana dia tidak boleh bertutur," katanya.
Menurutnya, suntikan itu merupakan ikhtiar terbaik untuk mencegah jangkitan Covid-19 kepada Norhidayah dan rakan-rakannya yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!