24 terbunuh bas terjunam ke dalam gaung di Bolivia
LA PAZ - Seramai 24 empat penumpang maut dan 10 yang lain cedera selepas bas dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter di bahagian selatan Chuquisaca, Bolivia, lapor Xinhua memetik polis dan petugas perubatan pada Isnin.
Pengarah Unit Operasi Trafik, Kolonel Jose Luis Assaf memberitahu wartawan jumlah kematian mungkin meningkat memandangkan kecederaan parah yang dialami mangsa.
Menurut Assaf, punca kemalangan berhampiran komuniti Chataquila itu belum dapat dipastikan memandangkan polis dan anggota bomba masih melakukan operasi mencari dan menyelamat.
"Kami masih menunggu petugas khas dan kren tiba kerana sukar untuk akses ke lokasi kejadian," katanya.
Bas yang dalam perjalanan dari Potolo ke Sucre itu mempunyai kapasiti 35 penumpang.
Pemandu bas berkenaan masih belum dikenal pasti, namun dipercayai antara mangsa yang masih terperangkap di bawah bangkai kenderaan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!