Gli Azzurri gembira dapat beri pengajaran kepada Three Lions
TONGGAK Itali, Leonardo Bonucci menegaskan Gli Azzurri telah memberikan pengajaran paling berguna kepada England apabila dapat menewaskan The Three Lions di depan penyokong lawan tersebut pada perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin.
Malah menurut Bonucci yang juga pemain pertahanan berusia 34 tahun itu, larangan perjalanan terhadap penyokong-penyokong Gli Azzurri berikutan Covid-19 menyaksikan perlawanan akhir tersebut sebelum ini lebih memihak kepada Three Lions kendalian Gareth Southgate tersebut.
“Sejujurnya kami tenang menyaksikan 58,000 penonton meninggalkan Stadium Wembley sebelum majlis penyampaian trofi kejuaraan, situasi ini amat menggembirakan kami apatah lagi trofi kejuaraan kembali ke Rom.
“Penyokong-penyokong England menyangkakan trofi Euro 2020 akan berada di London, namun sebaliknya yang berlaku. Saya bersimpati dengan mereka, biarpun begitu Itali telah memberikan pengajaran berguna kepada England,” katanya.
Pertahanan Juventus itu menghidupkan talian hayat kepada skuad Roberto Mancini apabila menyamakan jaringan pendahuluan Luke Shaw untuk kedudukan 1-1 seterusnya mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan kemenangan 3-2 Gli Azzurri, kejuaraan pertama sejak 1968.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!