AMM gesa kerajaan gariskan kriteria jawatan doktor tetap

AMM gesa kerajaan gariskan kriteria jawatan doktor tetap yang jelas dan telus agar pegawai perubatan ditawarkan jawatan tetap. - Foto 123RF
AMM gesa kerajaan gariskan kriteria jawatan doktor tetap yang jelas dan telus agar pegawai perubatan ditawarkan jawatan tetap. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menggesa kerajaan menggariskan kriteria jawatan doktor tetap yang jelas dan telus agar pegawai perubatan ditawarkan jawatan tetap.

Menurut satu kenyataan bersama ditandatangani AAM bersama 11 kolej badan berdaftar yang mewakili pakar perubatan di Malaysia, garis panduan kelayakan yang telus akan memastikan junior profesional penjagaan kesihatan yang memenuhi prestasi penanda aras diberi penghargaan sepatutnya.

“Kami menyedari jawatan tetap untuk semua doktor mungkin bukan penyelesaian yang berterusan untuk jangka masa panjang.

“Dalam kes ini, doktor junior mesti diberi tempoh kontrak lebih lama dengan struktur gaji dan faedah sama dengan jawatan tetap.

“Syarat kontrak yang sesuai dengan tahap pengalaman mereka akan beri jaminan keselamatan dan pengiktirafan yang sesuai untuk perkhidmatan mereka,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

Kenyataan itu berkata, sistem kontrak semasa meletakkan pegawai perubatan yang berkelayakan pada gred gaji lebih rendah berbanding doktor yang mempunyai pengalaman sama dalam jawatan tetap.

“Doktor kontrak juga mempunyai faedah yang lebih sedikit seperti elaun cuti terhad, termasuk untuk belajar dan pengecualian daripada memohon biasiswa latihan pascasiswazah.

“Mereka mesti diberi peluang sama untuk biasiswa pascasiswazah dan pakar Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jangka masa doktor kontrak perlu dipanjangkan bagi membolehkan mereka mengikuti latihan pascasiswazah atau pengkhususan.

“Salah satu kelemahan utama sistem kontrak semasa ialah tidak membenarkan doktor kontrak mengikuti latihan tersebut.

“Seharusnya ada kontrak 10 tahun automatik diberi kepada graduan untuk menyelesaikan latihan wajib mereka,” ujarnya.

Kerjasama itu turut menuntut kerajaan menjalankan desentralisasi latihan khusus untuk mencipta lebih banyak peluang.

Tambahnya, ia membolehkan hospital dan pusat latihan yang lebih kecil menjadi sebahagian daripada program latihan yang diiktiraf.

“Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada doktor junior untuk menjalankan pengkhususan.

“AMM College of Surgeons telah berjaya menggunakan platform pengurusan e-latihan yang membolehkan pemantauan dan mencatat kemajuan pelatih secara dalam talian.

“AMM bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkepentingan lain dalam memperkenalkan sistem ini untuk program dan latihan hospital lain di seluruh negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!