Kerajaan perlu pastikan pertumbuhan ekonomi: Pakar ekonomi

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu belajar dan memikirkan semula andaian asas mengenai ekonomi untuk maju dan membantu orang ramai yang berada dalam kesusahan, kata Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

"Anda perlu mempunyai dasar kitaran balas. Dan itulah sebabnya saya menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) ketika pertama kali dilaksanakan tahun lepas tetapi ia tidak dapat kekal. Rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup, mereka perlu memastikan ekonomi terus berjalan aktif.

"Memandangkan sifat ekonomi hari ini, anda tidak boleh bergantung kepada (kerajaan) untuk menjadi majikan sebagai pilihan terakhir tetapi anda boleh menjadi pembeli sebagai pilihan terakhir untuk memastikan ekonomi dapat membantu mereka yang berada dalam keadaan tidak menentu," katanya semasa Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Jomo adalah panelis pada sesi bertajuk 'Will Productivity and Growth Return After the Covid-19 Pandemic? How to Strengthen the Competitiveness of the Malaysian Economy in the New Normal?'.

Malaysia tidak harus terkesan terhadap agensi penarafan kredit dan menjalankan dasar fiskal kitaran balas.

"Kita harus memikir semula sikap kita mengenai pelbagai isu antarabangsa dan domestik, tetapi kita harus bersikap terbuka daripada segi dasar awam dan memikirkan isu-isu tersebut.

"Apa yang dikemukakan oleh dewan perdagangan mengenai masalah mereka telah diketahui selama lebih setahun setengah.

"Kita mungkin dapat menangani masalah ini lebih awal tetapi kita mempunyai keadaan iaitu beberapa orang yang mendakwa lebih mengetahui, ini merupakan masalah utama,” kata Jomo yang juga Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah.

Baru-baru ini, kumpulan dewan perdagangan Jerman, Belanda dan Jepun di Malaysia menyatakan kebimbangan mereka terhadap respons kerajaan terhadap pandemik Covid-19 dan memberi amaran bahawa banyak perniagaan sedang mengkaji semula keputusan pelaburan mereka dengan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan MUI, Andrew Khoo berkata, kerajaan perlu mempelbagaikan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini yang kebanyakannya disumbangkan oleh sektor minyak dan gas.

"Ini dapat dilakukan dengan mempromosikan penerapan teknologi inovatif dan maju. Pelabur asing juga perlu didorong untuk menubuhkan atau memindahkan anak syarikat mereka ke Malaysia," katanya.

Andrew berkata, kerajaan perlu meningkatkan daya saing nasional menerusi FDI dengan memperkenalkan dasar dan insentif yang lebih mesra pelabur.

"Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu dipercepat untuk meningkatkan kesalinghubungan digital negara dengan melancarkan 5G," katanya.

Katanya, enam bulan akan datang sangat penting untuk memastikan tahap keyakinan yang betul dipupuk dalam kalangan kumpulan dewan perdagangan dan komuniti pelaburan asing yang lebih luas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!