Kes meningkat, Kedah belum dapat beralih ke Fasa 2 PPN

Nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan untuk ke Fasa Dua PPN tidak dapat dicapai berikutan berlaku penambahan pesakit positif Covid-19 di kawasan industri di Sungai Petani dan Kulim. - Gambar hiasan.
Nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan untuk ke Fasa Dua PPN tidak dapat dicapai berikutan berlaku penambahan pesakit positif Covid-19 di kawasan industri di Sungai Petani dan Kulim. - Gambar hiasan.
A
A
A

PENDANG - Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang mencecah lebih 80 peratus di Kedah menyaksikan negeri tersebut masih belum dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan untuk ke Fasa Dua PPN tidak dapat dicapai berikutan berlaku penambahan pesakit positif Covid-19 di kawasan industri di Sungai Petani dan Kulim.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Sungai Petani menyebabkan penambahan kes berlalu selepas ujian saringan dilakukan secara menyeluruh.

"Bagaimanapun, penggunaan katil ICU di hospital-hospital Kedah masih lagi dapat menampung jumlah kes yang naik dan turun setiap hari, namun kena tunggu dahulu untuk Fasa Dua PPN.

"Kadang-kadang kes yang masuk ke wad beratus sehari tapi dalam masa sama beratus juga yang dibenarkan keluar wad," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Pendang dan DUN Tokai, Kampung Gajah Mati, dekat sini pada Selasa.

Beliau mengulas status Kedah yang masih belum dapat beralih ke Fasa Dua PPN seperti disasarkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, pihaknya akan berusaha menurunkan jumlah penggunaan katil di ICU ini ke paras sederhana bagi membantu Kedah mencapai nilai ambang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, semasa ditanya status jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Dr Mohd Hayati berkata, kadar jangkitan di hospital itu terkawal dan jumlah jangkitan turut menurun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hospital tersebut menutup operasi di bahagian tertentu untuk disanitasi dan operasi hanya membabitkan pembedahan kecemasan seperti bersalin dan kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!