Bintang nombor lima dunia umum tidak ke Tokyo 2020
BINTANG tenis Kanada yang juga pemain nombor lima dunia, Bianca Andreescu mengambil keputusan tidak mengambil bahagian pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan situasi semasa kes Covid-19 di Jepun pada masa ini.
“Sejak kecil saya sememangnya menyimpan hasrat mewakili Kanada di Sukan Olimpik namun berdasarkan situasi semasa dan kekangan berkaitan Covid-19, hati kecil saya berkata ini adalah keputusan terbaik,” kata Andreescu di laman Instagramnya.
Keputusan pemain nombor lima dunia berusia 21 tahun tersebut mengikuti jejak langkah beberapa bintang tenis dunia lain seperti Rafa Nadal, Dominic Thiem, Stan Wawrinka, Nick Kyrgios, Serena Williams dan Simona Halep yang mengumumkan tindakan atas alasan sama.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat berusia 21 tahun yang tersingkir pada pusingan pertama Kejuaraan Wimbledon pada masa sama menyatakan hasrat mewakili Kanada pada saingan Piala Fed dan Sukan Olimpik Paris 2024.
Andreescu menjadi pemain perseorangan Kanada pertama merangkul kejuaraan Grand Slam apabila meraih Kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat pada 2019 selepas itu berdepan musim suram setelah mengalami kecederaan pada perlawanan akhir kejuaraan WTA di Shenzhen tahun yang sama.
Rakan senegaranya, Denis Shapovalov, yang mara ke separuh akhir Wimbledon sebelum ini juga telah menyatakan hasrat tidak akan ke Tokyo 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!