PKS perlu transformasi operasi perniagaan dalam era digital
PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) perlu mentransformasikan operasi perniagaan mereka dalam era digital dan bersiap sedia bagi awal pemulihan perniagaan sama ada akhir tahun atau suku ketiga 2021, menurut pakar sumber manusia ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendra Balasingham memberitahu Bernama bahawa beliau yakin dengan pemulihan dan situasi akan kembali seperti kelaziman, susulan kadar vaksinasi meningkat dan sokongan kerajaan berterusan kepada perniagaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan walaupun pandemik Covid-19 yang semakin buruk tidak dijangkakan, namun perniagaan sewajarnya bersiap sedia terhadap gangguan yang serupa pada masa depan.
Beliau berkata dengan perniagaan disokong oleh pelbagai bentuk sokongan, PKS perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan kepada mereka termasuk yang terbaru, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Beliau memuji langkah kerajaan memperkenalkan pakej bantuan Pemulih RM150 bilion justeru, gesaan supaya berusaha ke arah pemulihan adalah untuk semua pihak dan perniagaan, khususnya PKS yang tidak boleh lagi kekal selesa.
“Sekiranya tiada tindakan proaktif diambil mereka untuk mengubah operasi perniagaan dari segi pendigitalan, mereka mungkin menghadapi satu lagi tahun yang penuh kesuraman atau menutup terus perniagaan,” katanya.
Gajendra berkata, menyedari semakin ramai rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin untuk mengekang penularan Covid-19 dengan rekod 421,479 dos vaksin telah diberikan setakat Isnin, jumlah tertinggi dalam tempoh sehari kehidupan seharian, operasi perniagaan dan aktiviti sosial lazim boleh kembali kepada situasi hampir normal menjelang akhir tahun ini.
“Kita kini berada dalam era digital, era perindustrian telah berlalu dan selepas 16 bulan berada dalam tempoh sekatan pergerakan, cukuplah. Kita tidak boleh menyalahkan, mengeluh atau meratapi ketidaktentuan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, tiada mana-mana pihak boleh menjangkakan peristiwa dunia yang bersifat luar jangka.
“Walaupun ia tidak dijangkakan, kita mesti bersedia mengharungi gangguan yang serupa pada masa depan,” katanya.
PKS perlu menentukan semula dinamik operasi mereka secara serius dengan menggunakan teknologi digital baharu, kompetensi kemahiran dan sumber pasukan di samping bersedia untuk bekerja dalam persekitaran berdaya tahan.
“Menerusi suntikan fiskal langsung RM10 bilion, setiap individu, PKS, syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu melakukan yang terbaik ke arah ‘modus operandi pemulihan yang pantas’.
“Terlalu banyak jalan yang ditawarkan kepada individu dan PKS untuk menerima bantuan kewangan dan seterusnya untuk mereka berdikari,” katanya.
Penuntut yang baru sahaja menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi dan yang belum berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga boleh mendaftar dengan MYFutureJobs untuk mendapatkan elaun yang akan membantu mereka bertahan dalam jangka pendek.
Beliau berkata, kini syarikat perlu mempertimbangkan keseluruhannya, bentuk pemikiran baharu dengan pasukan dan sistem pejabat perlu digabungkan serta berinteraksi dengan pelaksanaan teknologi baharu malah pelanggan turut wajar dimaklumkan menerusi proses dan prosedur yang diatur dengan baik.
“Kami bekerjasama dengan agensi utama kerajaan, kami menguruskan dan memberi kemahiran baharu kepada kira-kira 400 individu yang diberhentikan kerja bagi tempoh setahun, dengan 150 individu berjaya kembali semula ke dalam pasaran tenaga kerja.
“PKS tidak wajar membazirkan lagi masa mereka sebaliknya perlu mencipta semula operasi perniagaan masing-masing,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!