JPJ Terengganu jalankan sistem janji temu online

Zulkarnain (kiri) meninjau pembukaan kaunter dan sistem temujanji atas talian yang dibuka di UTC Kuala Terengganu pada Selasa.
Zulkarnain (kiri) meninjau pembukaan kaunter dan sistem temujanji atas talian yang dibuka di UTC Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu setakat ini mengutip sebanyak RM454,350.10 hasil pelaksanaan sistem janji temu secara dalam talian (online) bermula dari 6 hingga 11 Julai lalu.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, pelaksanaan sistem itu berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara yang berkuatkuasa bermula 1 Julai lalu.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,596 janji temu diterima melibatkan bahagian pelesenan kenderaan, pelesenan pemanduan, penguat kuasa, kejuruteraan automotif dan kiosk.

"Sistem janji temu secara online (dalam talian) telah dijalankan secara menyeluruh di JPJ Kuala Terengganu pada 6 Julai lalu manakala pelaksanaan di JPJ Kemaman, Besut dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dilakukan pada hari ini (Selasa).

"Sistem tempahan boleh menggunakan aplikasi 'google form' dan kaedah tempahan dilakukan dengan melayari Facebook JPJ Terengganu serta menekan pautan tempahan yang disediakan atau membuat imbasan kod QR mengikut tarikh atau slot masa dipilih," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, urusniaga yang terkesan dalam tempoh PKP akan diberikan tempoh lanjutan masa.

Katanya, antara terlibat seperti tempoh sah laku pemeriksaan Puspakom yang tamat tempoh ketika PKP dilanjutkan sehingga 30 September 2021.

"Pemeriksaan Puspakom bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan dibenarkan untuk menangguhkan pemeriksaan berkala dan diberi pengecualian saman kepada mana-mana pemilik kenderaan yang tidak hadir bagi tujuan pemeriksaan bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana kenderaan yang tamat tempoh LKM bermula 1 Jun hingga 31 Julai diberi pengecualian sehingga 30 September 2021 dengan syarat perlu memastikan kenderaan memiliki perlindungan insurans yang sah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!