Penggunaan digital perlu bagi tingkatkan perniagaan eksport
KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan penggunaan digital untuk meningkatkan perniagaan eksport semasa pandemik ini, kata Pengarah Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.
Beliau berkata, pembangunan dalam teknologi telah membuka laluan kepada perniagaan eksport dan terdapat peluang bagi penggiat perniagaan kecil untuk menjadi sebahagian daripadanya.
“Eksport boleh dikategorikan dalam banyak cara pada masa ini dan pemilik perniagaan boleh menyertai platform pasaran yang boleh didapati seperti Lazada dan Shopee. Jika anda merupakan penyedia perkhidmatan, anda dapat menghubungi pelanggan tanpa mempunyai interaksi fizikal.
“Dengan memperluas pasaran, kita dapat terus mengembangkan dan mengekalkan perniagaan, membawa kepada peningkatan pendapatan, berikutan kita juga akan bersaing dengan peserta pasaran lain yang akan memaksa kita untuk meningkatkan standard, kualiti dan kecekapan untuk syarikat yang lebih mampan,” katanya pada sesi plenari Ketua Pegawai Eksekutif pada Hari Eksport eNasional (eNED) 2021 pada Selasa.
Nik Mohd Hasyudeen berkata, walaupun eksport memberikan cabaran dan melibatkan perkara baharu untuk ditangani, ia turut menawarkan peluang kepada perniagaan untuk kekal kukuh dalam pasaran domestik dan menarik kepada pasaran lebih luas untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IX Telecom Sdn Bhd, Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi berkata, PKS perlu memanfaatkan infrastruktur yang ada sekarang berikutan negara menuju ke arah ekonomi digital dan rakyat hidup dalam era yang berbeza berbanding 10 tahun lepas.
“Sebagai sebuah syarikat, kita perlu memanfaatkan model berasaskan platform dan kita perlu mengeksport produk dan perkhidmatan kita melalui penggunaan automasi dan pendigitalan.
“Ini juga merupakan masa yang baik untuk syarikat menyesuaikan dengan Revolusi Industri Keempat (4IR) dalam menggunakan pendekatan yang komprehensif, menyeluruh dan saling berkaitan untuk perniagaan mereka dan memanfaatkan penggunaan Internet of things (IoT), automasi dan analisis data berikutan kita telah mempunyai infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata, syarikat tidak boleh menunggu untuk keadaan kembali normal dan perlu meningkatkan perniagaan dan eksport mereka.
Sementara itu, dalam sesi panel lain, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang menggesa PKS untuk melakukan transformasi dengan penggunaan teknologi.
“Kami berharap PKS dapat menggunakan teknologi dengan segera bagi meningkatkan jualan mereka dan mengubah pemikiran mereka untuk peluang yang lebih besar. PKS perlu menyesuaikan dengan normal baharu dalam menjalankan perniagaan dengan beralih ke peringkat antarabangsa sebagai langkah untuk bertahan dan mengekalkan perniagaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!