Isu integriti sektor korporat bersifat kompleks
KUALA KANGSAR - Kebanyakan isu integriti di sektor korporat berlaku agak unik dan bersifat kompleks.
Profesor Adjung Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keadaan itu tidak semudah memberi dan menerima rasuah atau menyalahgunakan harta syarikat.
Menurutnya, kesalahan integriti dalam sektor korporat sering berlaku dengan cara yang dikaburi muslihat atau dalihan-dalihan yang sangat mengelirukan.
"Terdapat entiti korporat yang menggunakan taktik meletakkan tokoh-tokoh ternama di dalam organisasinya untuk mengaburi pelabur, pihak berkuasa atau pelanggan.
"Tetapi, pada masa sama menyusun gerak kerja melupuskan pegangan kerajaan negeri di dalam organisasi tersebut sehingga kerajaan negeri akhirnya tidak mempunyai hasil lagi," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Siri 1 Profesor Adjung USAS bertajuk Integriti Dalam Sektor Korporat secara maya di sini pada Selasa.
Zambry berkata, ada juga syarikat korporat yang berselindung di sebalik mengiktiraf antarabangsa untuk menutup kelemahan tadbir urus mereka.
Ujar beliau, paling kerap berlaku adalah syarikat korporat menyembunyikan keuntungan dan mengelakkan cukai
"Saya kira ini adalah yang paling kerap berlaku. Banyak entiti korporat apabila mencatatkan keuntungan tetapi sering sahaja mengisytiharkan kerugian dalam akaunnya.
"Penipuan seperti ini menyebabkan kerajaan kehilangan hasil kutipan cukai atau tidak menerima pembayaran dividen, bagi kes syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.
Dalam pada itu, Zambry menjelaskan, Dasar Penswastaan Negara misalnya, turut membawa satu fenomena baharu dalam dunia korporat iaitu korporatisme.
Katanya, kemunculan korporatisme menyebabkan amalan-amalan persaingan dan keuntungan dalam laporan kewangan menjadi ukuran kehebatan.
Sementara itu, beliau berkata, pembudayaan integriti di peringkat awal perlu dititikberatkan bagi membantu dalam menyuburkan amalan integriti dalam sektor swasta.
Menurutnya, pengenalan prosedur atau birokrasi yang ringkas, telus dan terbuka perlu dilakukan bagi mengelakkan keperluan sebarang tindakan yang tidak jujur memintas kerenah birokrasi.
Jelasnya, pengaplikasian teknologi dan platform digital dapat meningkatkan keterbukaan dan ketelusan sekali gus meminimumkan ruang untuk berlakunya penyelewengan.
"Pemerkasaan prosedur dan perlindungan kepada whistleblower juga perlu dilakukan agar lebih ramai lagi pihak akan tampil dan berani melaporkan kecurangan korporat dalam amalan serta operasi mereka. Perkara ini mesti diselarikan dengan menggandakan kempen serta program kesedaran yang berkesan.
"Selain itu, pengenalan prosedur dan tapisan keutuhan yang lebih ketat serta tegas terutamanya pelantikan politik ke dalam entiti seperti institusi awam, badan berkanun mahupun GLC," katanya yang juga Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Zambry berpendapat, adalah wajar sekiranya pelantikan ke dalam lembaga entiti yang berkaitan kerajaan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Khas di Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!