MAIS agih fidyah kepada 201 keluarga di Petaling
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan kutipan fidyah kepada 201 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 di sekitar daerah Petaling pada Selasa.
MAIS menerusi satu hantaran di Facebook berkata, sejumlah RM20,100 diperuntukkan untuk sumbangan dalam bentuk makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100 bagi setiap penerima.
Menurutnya, sumbangan diberikan kepada 24 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada Persatuan Penduduk Saujana Utama 3, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (KAFAI) di sekitar daerah Petaling.
“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua.
“Anda yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh membayar fidyah secara atas talian melalui e-MAIS melalui pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!