Tokyo 2020: ISN bantu pacu prestasi atlet tahap terbaik
KONTINJEN negara ke Sukan Olimpik Tokyo tetap boleh mengukir senyuman dengan keadaan fizikal mereka terkini, walaupun pandemik Covid-19 memberikan cabaran berbeza dalam persediaan menghadapi temasya sukan berprestij itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, kesemua 30 atlet negara yang bakal mengharungi cabaran sengit dalam sukan dan acara masing-masing di negara matahari terbit itu, berada dalam keadaan fizikal terbaik.
Beliau berkata, ia berdasarkan penilaian sepanjang proses persiapan atlet ke Sukan Olimpik termasuk dalam fasa persediaan terakhir, yang menyaksikan mereka perlu menjalani latihan dalam gelembung sukan sebelum berlepas ke Tokyo.
“Setakat ini kesemua 30 atlet berada dalam keadaan terbaik untuk bertanding di Tokyo.
“Mereka (atlet) yang ada sikit-sikit isu berada dalam fasa mengekalkan kecergasan, kita pastikan mereka dirawat dan diberikan perkhidmatan sebaik-baiknya dari segi perubatan sukan, supaya bila di Tokyo tiada isu besar yang akan timbul menghalang mereka untuk bertanding,” katanya.
Ahmad Faedzal berkata, ISN sebagai pasukan sokongan kepada kontinjen negara, mempunyai objektif serta sasaran untuk memberikan sepenuhnya perkhidmatan sains sukan, perubatan sukan dan teknologi sukan, bagi merealisasikan misi di Sukan Olimpik.
Beliau berkata, di peringkat ISN, fokus utama adalah untuk memastikan setiap atlet negara mencapai prestasi puncak masing-masing, berdasarkan periodisasi dan program latihan yang telah dirangka, meskipun Sukan Olimpik ditunda setahun dari jadual asal.
Menurut beliau, kehadiran pasukan ISN dalam memberi perkhidmatan sains sukan merangkumi aspek biomekanik, fisiologi senam, psikologi, pemakanan sukan, analisis prestasi dan suaian fizikal, selain perubatan sukan melibatkan pakar perubatan serta fisioterapi, adalah kritikal dalam temasya sukan.
“Ia adalah satu tanggungjawab yang besar, kerana dalam mana-mana temasya utama, perkara seperti tumpuan terhadap prestasi atlet, bagaimana atlet itu membuat pemulihan antara perlawanan dan sebagainya, merupakan aspek utama kerana ia (Sukan Olimpik) berbentuk karnival,” jelasnya.
Ahmad Faedzal berkata, seramai 32 kakitangan ISN terlibat sepanjang program Program Road To Tokyo 2020 dengan 14 kakitangan terdiri daripada 10 pegawai perubatan dan empat pegawai sains sukan, akan turut bersama-sama kontinjen negara di Tokyo sepanjang Sukan Olimpik berlangsung.
Mereka yang terlibat dipecahkan kepada tiga kumpulan, iaitu sembilan daripadanya ditempatkan di Tokyo untuk memantau perkembangan 24 atlet dalam tujuh sukan berbeza, sementara empat ditugaskan di Shuzenji bagi acara berbasikal trek, dan satu berada bersama skuad pelayaran di Enoshima.
“Baki yang tidak ke Tokyo contohnya penganalisis prestasi, mereka salurkan maklumat serta khidmat nasihat dari sini, dan mereka akan terus berhubung dari semasa ke semasa sepanjang temasya berlangsung,” kata Ahmad Faedzal.
Menyentuh mengenai pencegahan Covid-19, beliau berkata ISN mempraktikkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dalam memberikan perkhidmatan sepanjang proses persediaan ke Tokyo, bagi mengelakkan penularan antara pegawai ISN dan atlet.
Beliau berkata, berdasarkan perancangan, setiap atlet perlu melalui sehingga lima ujian saringan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dalam tempoh 10 hari sebelum berlepas ke Tokyo, diikuti ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang dilakukan setiap hari, tiga hari sebelum tarikh berangkat.
“Paling penting kita telah pastikan atlet dan pegawai yang pergi telah divaksin penuh. Jadi, ia memastikan mereka dalam keadaan tenang dan bila dalam pesawat, kita juga akan pastikan mereka sekurang-kurannya pakai Level 1 PPE, iaitu pakai pelitup muka dan pelindung muka,” katanya.
Ahmad Faedzal berkata, setibanya di Tokyo, kesemua atlet dan pegawai perlu mengambil maklum dan mematuhi SOP ditentukan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekiranya timbul sebarang masalah.
Sukan Olimpik Tokyo yang dilangsungkan tanpa kehadiran penonton susulan situasi Covid-19 di Jepun, dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!