Thailand pertahan langkah campur vaksin Covid-19

Pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan memberitahu suntikan gabungkan Sinovac dengan AstraZeneca sebagai dos kedua didapati berfungsi baik dalam meningkatkan imuniti. - Foto 123RF
Pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan memberitahu suntikan gabungkan Sinovac dengan AstraZeneca sebagai dos kedua didapati berfungsi baik dalam meningkatkan imuniti. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand mempertahankan langkahnya untuk mencampurkan vaksin Covid-19 bagi meningkatkan perlindungan terhadap Covid-19 selepas saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran langkah menggabungkan vaksin berbeza belum terbukti keberkesanan dan keselamatannya.

Pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan berkata, suntikan menggabungkan, Sinovac, vaksin virus tidak aktif dengan AstraZeneca vaksin vektor viral sebagai dos kedua didapati berfungsi dengan baik dalam meningkatkan imuniti.

"Ia boleh memberi kesan penggalak dalam tempoh enam minggu berbanding 12 minggu.

"Penggunaan AstraZeneca sebagai suntikan ketiga atau booster selepas dua dos Sinovac akan mencapai tahap antibodi lebih tinggi," kata Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal di Fakulti Perubatan, Universiti Chulalongkorn dalam taklimat di sini pada Selasa.

Semalam (snin), Thailand mengumumkan akan mencampurkan vaksin Covid-19 Sinovac dengan AstraZeneca.

Bagaimanapun, ketua saintis WHO Dr. Soumya Swaminathan menyatakan "ia satu trend yang berbahaya."

"Kita berada di zon yang tidak mempunyai banyak data dan bukti, begitu juga aspek campur dan padanan ini,” katanya.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 8,685 lagi kes baharu Covid-19 dan 56 kematian dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 353,712 dan 2,847 kematian.

Artikel Berkaitan:

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan kes baharu itu termasuk 8,673 jangkitan tempatan, 2,501 melalui pengesanan kes aktif manakala 12 kes import.

Korban terbaru itu melibatkan 31 wanita dan 25 lelaki berusia antara 34 hingga 96 tahun, termasuk 30 di Bangkok.

Turut dilaporkan tujuh pekerja binaan di Bangkok disyaki dijangkiti dua varian - Alpha dan Delta.

Setakat ini, mereka masih sihat dan tidak mengalami gejala membimbangkan, lapor Bangkok Post.

Sementara itu, Pejabat Sheikhul Islam Thailand mengumumkan larangan solat Jumaat di empat wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Solat sunat Aidiladha di surau dan masjid di wilayah terbabit turut tidak dibenarkan. Ibadah korban hanya boleh dilakukan di lokasi ditetapkan dan tidak lebih lima orang petugas," kata pejabat itu dalam satu kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!