Pameran pasaran maya Bursa Malaysia tarik 8,000 peserta

No Image Caption
A
A
A

PAMERAN Pasaran Maya pertama Bursa Malaysia yang bertujuan untuk menerapkan pelaburan yang bertanggungjawab dalam kalangan pelabur runcit telah mencatatkan seramai 8,000 peserta.

Pengarah Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia, Azhar Mohd Zabidi berkata, acara selama sehari itu memberikan pengetahuan yang sewajarnya kepada pelabur runcit dan menjana idea bahawa menyertai pasaran modal boleh menjadi kaedah yang bersesuaian untuk membina kekayaan dan memenuhi matlamat kewangan.

“Pelabur runcit sering menjadi keutamaan kepada bursa berikutan mereka memberi impak positif kepada kecairan dan kedalaman pasaran. Oleh itu, meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pelabur amat penting bagi kami.

“Kami ingin membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan pada masa sama memastikan pasaran yang mampan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Acara itu, yang diadakan pada 10 Julai, 2021, turut menampilkan gerai maya oleh 13 rakan broker serta 15 ceramah oleh pakar produk dan pemimpin korporat, yang semuanya mendapat minat yang tinggi daripada para peserta maya.

“Dalam menjalankan urus niaga dengan yakin, pelabur perlu memahami mengenai dagangan saham dari aspek asas dan teknikal. Penyelidikan dan analisis yang mendalam perlu dilakukan untuk memahami dan melabur dalam instrumen yang bersesuaian dengan minat individu untuk mengambil risiko dan tujuan pelaburan,” kata Azhar.

Bursa Malaysia menyaksikan pertumbuhan penyertaan runcit yang ketara sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Pelabur runcit menyumbang 34 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2020, menunjukkan peratusan tertinggi dalam dekad yang lepas. Penyertaan runcit pada 2021, setakat ini, turut menunjukkan momentum yang positif.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai dan pelabur lain yang berminat boleh melihat kandungan yang sama di Saluran YouTube Bursa Marketplace di https://www.youtube.com/c/Bursamarketplace. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!