Korea Selatan bangkit ikat Argentina
KOREA Selatan mendapat tonik semangat menjelang saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila bangkit mengikat Argentina 2-2 pada aksi persahabatan di Yongin, selatan Seoul.
La Albiceleste terlebih dulu di depan hasil jaringan Alexis Mac Allister pada minit ke-12 sebelum Lee Dong-gyeong menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Taegeuk Warriors kembali ketinggalan apabila Carlos Valenzuela meletakkan pelawat sekali lagi di depan selepas 12 minit babak kedua bersambung sebelum Um Won-sang muncul penyelamat tuan rumah dengan gol pada minit ke-92.
Korea Selatan pemenang pingat gangsa pada edisi London 2012 akan membuka tirai saingan menentang Perancis pada perlawanan pemanas badan kedua sebelum menyingkap tirai kempen menentang New Zealand pada 22 Julai.
Sementara itu, pengendali Korea Selatan, Kim Hak-bum menyifatkan perlawanan tersebut penting dalam membentuk keyakinan dalam kalangan pemain-pemain Taegeuk Warriors berkenaan.
“Sejujurnya kami sememangnya memerlukan lawan yang kuat seperti Argentina untuk membentuk keyakinan pemain-pemain, elemen positif ini hadir apabila mereka mempamerkan semangat melawan yang tinggi.
“Pada babak pertama pemain-pemain Korea Selatan tidak memberikan saingan sengit, namun semuanya berubah pada babak kedua apabila mereka mula bangkit menyaingi lawan.
“Sekiranya karakter ini dikekalkan pada Tokyo 2020, saya percaya pasukan ini akan mampu pergi lebih jauh lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!