Lee Tuck akui serius imbangi karier, keluarga

Lee Tuck - Foto Terengganu FC
Lee Tuck - Foto Terengganu FC
A
A
A

BAKAL menimang cahaya mata kedua, pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck mengakui perlu lebih serius dalam mengimbangi karier dan keluarga lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

Jelasnya, kes yang kian meningkat saban hari sememangnya memberi kerisauan apatah lagi dia kini perlu berjauhan dengan keluarga buat sementara waktu kerana sedang menjalani latihan bersama pasukan dalam secara camp based.

Berbeza dengan situasi sebelum adanya penularan wabak Covid-19, pemain kelahiran England ini mengakui perlu lebih berjaga-jaga dan bijak membahagikan masa untuk memastikan isteri dan anaknya dalam keadaan yang selamat meskipun dia tiada di sisi.

Walaupun keadaan lebih sukar ketika ini, Lee Tuck percaya dengan kehadiran cahaya mata kedua pada Ogos depan pastinya akan memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka selain lebih bersemangat untuk mencapai prestasi terbaik bersama Terengganu.

“Saya rasa semua orang sedang menghadapi kehidupan yang lebih berbeza sekarang selepas berdepan wabak yang semakin merisaukan.

“Anak saya yang berusia 2 tahun ini juga rindu nak beriadah di luar, dan kami sebagai ibu bapa yang kena selalu melayan dia setiap masa sebab sekarang tidak boleh nak keluar ke mana-mana, jadi penting untuk dia rasa dilayani dengan baik di rumah.

“Bulan depan, isteri saya akan melahirkan anak kami yang kedua, jadi saya sekarang kena lebih bijak untuk mengimbangi kehidupan berkeluarga dan kerjaya yang lebih baik, apatah lagi sekarang situasi tidak sama dengan sebelum adanya Covid-19.

“Ianya pasti akan lebih sukar, tetapi saya percaya kami akan menanganinya dengan lebih baik demi keluarga dan karier,” jelasnya yang dipetik dari laman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai pasukan, pemain yang dipinjamkan dari Sri Pahang FC ini bertekad ingin mencapai prestasi yang memuaskan sepertimana yang pernah dilakukannya bersama Terengganu pada musim lalu.

Lee Tuck berjaya menjaringkan enam gol dalam 11 penampilan Liga Super pada musim lepas dan berazam ingin cipta peluang raih lebih banyak jaringan pada baki saingan Liga Super selain ingin membantu Terengganu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di kedudukan kedua terbaik.

“Saingan yang lebih berbeza apabila saya kini berada bersama pasukan yang kini di kedudukan lebih tinggi berbanding Pahang sekarang di tangga ke-9, jadi cabaran yang dirasai lebih tinggi.

“Saya ingin cuba mencari lebih banyak jaringan sama seperti saya lakukan pada tahun lepas, dan ingin bawa pencapaian ini untuk mulakan musim baharu 2022 dengan lebih positif apabila kembali bersama Pahang.

“Saya teruja nak kembali semula ke Pahang pada tahun depan, tetapi musim ini, saya perlu bekerja keras untuk bantu Terengganu terlebih dahulu untuk kekal di tangga kedua kerana musim lepas kami berada di kedudukan ketiga liga,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!