Malaysia akan kekurangan doktor pakar
SHAH ALAM- Malaysian Medical Association (MMA) berpandangan bahawa negara bakal kekurangan tenaga pakar dan berdepan sistem kesihatan yang mundur pada masa depan.
Presidennya, Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, keadaan itu boleh berlaku jika ramai doktor-doktor muda meninggalkan perkhidmatan awam.
Jelas beliau, apabila tenaga pakar semakin berkurangan pada masa depan maka hospital-hospital baharu tidak boleh dibuka dan memberi kesan kepada rakyat.
"Kesan pertama, akan wujudnya kekurangan tenaga pakar dalam negara. Apabila kita kekurangan pakar, bagaimana mahu buka fasiliti kesihatan yang baru kerana untuk ada hospital besar, kita perlukan tenaga pakar dan fasiliti kesihatan yang mencukupi.
"Jika hospital baharu dan fasilti kesihatan berkurangan, ia akan menyukarkan rakyat. Contohnya, proses menunggu akan memakan masa yang lama," katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, Subramaniam berkata, dari segi jangka masa panjang pula, sistem dan kualiti kesihatan akan menurun.
"Kita dapat lihat terutamanya ketika pandemik ini, fasiliti kesihatan dan bahan-bahan untuk hospital memang tidak mencukupi dan ini berlaku di Selangor. Bagaimana pula negeri-negeri yang kurang hospital besar?
"Hospital besar yang ada fasiliti yang lengkap hanya ada tiga atau empat buah sahaja untuk satu negeri dan agihan doktor-doktor tidak seragam akan membuatkan ramai pesakit tertumpu kepada satu hospital sahaja.
"Oleh itu, kelengkapan kesihatan dan tenaga kerja kena datang sekali," kata beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi Malaysian Medics International (MMI), Dr Ong Siu Ching berkata, antara masalah yang dialami doktor kontrak adalah tidak layak meneruskan kepakaran dan tempoh kontrak yang terlalu pendek di mana ia akan memberi kesan dan beban kepada sistem kesihatan.
"Pertama, doktor yang berstatus kontrak tidak layak masuk Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) iaitu program untuk mendapatkan kepakaran dan tempoh kontrak yang terlalu pendek.
"Seorang doktor memerlukan lapan hingga sembilan tahun untuk menjadi pakar kesihatan. Doktor kontrak bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan kepakaran kerana mereka perlu melakukan latihan dalam KKM.
"Oleh itu, dengan status dan tempoh kontrak ketika ini, doktor kontrak tidak dapat melengkapkan kepakaran mereka disebabkan kekurangan masa kontrak di mana syarat terkini hanya lima tahun sahaja," katanya.
Tambah Siu Ching, melihat situasi sistem kontrak di Malaysia, ramai doktor yang merasakan bahawa masa depan mereka untuk mendapatkan kepakaran tidak dijamin.
"Dalam jangka masa panjang, mereka mungkin tidak dapat menampung kehidupan sendiri dan keluarga kerana tiada jaminan kepakaran. Ramai juga yang berpendapat bahawa budaya kerja dalam sistem kesihatan tidak sihat seperti tiada perlindungan kebajikan dan kes buli.
"Ini memberi kesan buruk kepada kesihatan mental para doktor. Ramai pelajar medik ingin menjadi doktor untuk berkhidmat demi negara dan jika sistem kontrak diperbaiki, kami yakin mereka akan kekal dalam negara untuk berkhidmat," katanya.
Doktor kontrak juga tunjang sistem kesihatan negara
SHAH ALAM - Pegawai kesihatan kontrak perlu dianggap sebagai tunjang sistem kesihatan negara dan tergolong sebagai frontliners yang berjuang melawan pandemik Covid-19.
Pengarah Libat Urus dan Mobilisasi Parti Muda, Dr Mathen Nair berkata, dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 peratus doktor yang berkhidmat dalam waktu pandemik ini terdiri daripada doktor kontrak.
“Bayangkan jika mereka tiada dalam sistem kesihatan. Golongan yang paling terjejas adalah rakyat, khususnya B40 yang mengharapkan sistem kesihatan awam.
“Jadi tanpa mereka, dengan siapa rakyat akan jumpa untuk dapat rawatan?
“Kita sudah mengalami masalah seperti terpaksa menunggu lama untuk janji temu di hospital dan saya yakin ini akan menjadi lebih teruk jika perkara ini dibiarkan berlaku,” katanya.
Dr Mathen turut mendedahkan dianggarkan hanya 700 sahaja jawatan tetap diberikan sehingga kini dari tahun 2016.
Dr Mathen yang juga aktivis dan pengasas bersama parti Muda berkata, sistem kesihatan negara dari segi fasiliti atau institut latihan masih tidak mencukupi untuk doktor graduan menyebabkan lambakan doktor.
“Walaupun negara sering kata ratio doktor kepada pesakit adalah memadai, ini tidak betul kerana penempatan mereka ini tak selari. Contohnya, di bandar kita ada banyak doktor, namun mengalami kekurangan doktor di pedalaman.
“Ini disebabkan polisi awam yang dibuat tidak berasaskan demografi, akses hospital, sistem pengangkutan dan jalan raya. “Solusi doktor kontrak ini dibuat sebagai langkah sementara temporary measure pada tahun 2016 untuk menyelesaikan lambakan doktor pada masa itu, tetapi tidak dikaji semula sehingga ke hari ini,” katanya.
Turut bersetuju dengan kenyataan beliau, seorang graduan perubatan universiti swasta di Malaysia, Dr Nur Nabila Nasharuddin yang berkata, dua kemungkinan besar berlaku jika pegawai kesihatan tidak menyambung kontrak ialah kekurangan pakar dan brain drain.
“Perkembangan kerjaya seorang doktor bergantung kepada kelulusan dalam pelbagai peperiksaan klinikal.
“Tempoh kontrak selama empat ke lima tahun menghalang pendedahan klinikal yang cukup dan merupakan salah satu kriteria penting sebelum peperiksaan diambil.
“Ketika ini, 23,000 doktor kontrak terhalang untuk mendapatkan kepakaran melalui Hadiah Latihan Persekutuan disebabkan status kontrak dan polisi pentadbiran awam.
“Brain drain pula berlaku akibat tiada jaminan dalam kerjaya dan kemungkinan untuk ditamatkan kontrak serta merta menyebabkan doktor kontrak meletakkan jawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berpindah ke sektor awam, bahkan berpindah ke luar negara untuk menjadi doktor.
“Dalam negara pula, ada kemungkinan doktor ini akan berpindah ke bidang non-klinikal seperti insurans, farmaseutikal dan sebagainya,” katanya
Dr Nur berpandangan, individu atau persatuan yang memulakan kempen hartal doktor kontrak perlu dilindungi kerana percaya mereka dapat mencapai pelbagai dialog yang sebelum ini tidak dapat dicapai.
ARTIKEL BERKAITAN 'Selesaikan sebelum 26 Julai atau kami mogok'
Malaysia akan kekurangan doktor pakar
Doktor kontrak frontliners 'pakai buang'?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!