Pelaku dera Bella perlu dijel: Khalid
SHAH ALAM - Hukuman berat patut dikenakan terhadap individu melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) down syndrome dikenali sebagai Bella.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, hukuman denda sahaja tidak mencukupi terhadap pendera remaja perempuan yang berusia 13 tahun terbabit.
“Tak terfikir ada yang sekejam dan tidak berhati perut sebegini. Tak sanggup melihat gambarnya. Kasihan Bella. OKU sindrom down.
“Tiada alasan untuk kezaliman yang dilakukan. Hukuman mesti setimpal dengan kesalahan. Denda tidak memadai. Wajib dipenjara,” ciap Khalid di laman Twitternya pada Selasa malam.
ARTIKEL BERKAITAN:Tular video didera, hak penjagaan adik Bella dilucut serta merta
ARTIKEL BERKAITAN [VIDEO] Anak istimewa disyaki didera di rumah kebajikan
ARTIKEL BERKAITAN:Remaja OKU didakwa didera: Seorang wanita ditahan bantu siasatan
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut berkongsikan poster karikatur Bella yang membandingkan keadaan fizikal mangsa sekarang dengan tahun lalu di laman sosialnya itu.
Dalam pada itu, sepanjang minggu ini isu mengenai Bella tular di ruangan Twitter dengan tanda pagar #JusticeForBella.
Rata-rata warga Twitter menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap isu penderaan yang berlaku. Mereka berharap agar kes ini dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak terlibat.
Kanak-kanak perempuan tersebut dilaporkan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan pemantauan penuh dari sudut kesihatan mental dan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!