PRK Semenyih: Kempen rancak di media sosial

Bendera parti bertanding mewarnai kawasan semenyih. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Bendera parti bertanding mewarnai kawasan semenyih. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Suram dan hambar. Suasana kempen PRK Semenyih bagi minggu kedua dilihat masih sama walaupun perang bendera begitu meriah dipasang di hampir keseluruhan Dun berkenaan.

Kebanyakan program dilaksanakan calon masih gagal menarik orang ramai untuk menyertai dan kebanyakan mereka dilihat lebih tertarik untuk hadir sekiranya program diadakan melibatkan tokoh-tokoh politik yang mereka sukai.

Tempoh kempen pula hanya berbaki tiga hari saja lagi tapi rata-rata calon dilihat masih 'struggle' untuk mencari formula bagi menawan hati sekaligus meyakinkan penduduk untuk mengundi mereka. Apakah faktor media sosial menyebabkan program calon dipandang sepi atau calon itu sendiri yang bosan sehingga tiada siapa berminat untuk mendengar ceramah atau hadir ke program mereka?

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, beliau melihat, senjata kempen khususnya untuk PRK kini lebih terarah kepada telefon bimbit atau lebih tepat menerusi media sosial.

Md Shukri. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Md Shukri. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Beliau berkata, pra-maya berlaku di kalangan pengundi melalui gajet dan fenomena itu tidak berlaku pada PRU-PRU sebelum ini.

Katanya, bermula PRU14 sehingga PRK-PRK yang lalu dan sekarang, gelombang telefon bimbit sebagai senjata politik menjadi begitu penting.

"Kaedah untuk menguji tahap sokongan atau sambutan terhadap sesuatu kempen pada PRK tidak boleh lagi bergantung kepada program bersifat fizikal semata-mata tapi setiap parti khususnya calon perlu mengambil kira sentimen yang ada dalam telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

"Senjata politik paling canggih, murah, mudah dan berkesan pada masa kini adalah melalui aplikasi WhatsApp kerana orang ramai tak perlu hadir ke program calon tapi mereka masih boleh mengikuti ceramah/kempen tersebut secara 'live' menerusi pautan-pautan yang ditularkan ke aplikasi tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Kempen menerusi WhatsApp

Menurutnya, menerusi WhatsApp juga, video, poster atau sebarang maklumat kempen boleh disebarkan dengan lebih cepat kepada lebih banyak grup sama ada keluarga, rakan sekerja, rakan sekampung dan sebagainya.

Tambah lagi katanya, penduduk yang tinggal di Semenyih ini juga terdiri daripada golongan yang sibuk bekerja kerana mereka tinggal dekat dengan bandar.

"Penduduk di Lembah Klang ini berbeza dari kelompok masyarakat lain kerana tahap kehidupan mereka tinggi jadi soal keutamaan kerja lebih penting daripada menghadiri kempen-kempen politik atau program yang diadakan.

"Dengan itu, penguasaan kepada kelompok masyarakat melalui digital penting dan WhatsApp adalah kaedah baru kempen yang digunapakai dan diterima dengan baik oleh masyarakat...Kempen di lokasi yang kita nampak memang suam-suam kuku tapi berbeza di alam maya, ia sebenarnya rancak dijalankan kerana tiada had masa," katanya.

Muhammad Aiman. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhammad Aiman. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Mengulas berhubung calon yang dilihat berpotensi untuk menang pada PRK kali ini, Md Shukri berkata, penerimaan masyarakat khususnya sepanjang kempen ini dilihat condong kepada BN.

Menurutnya, ia bukan sahaja disebabkan Semenyih adalah kawasan majoriti Melayu tapi fenomena penjenamaan 'bossku' oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga banyak mempengaruhi.

Menurutnya, ketika ini ramai melihat BN sebagai satu aset kerana memperjuangkan isu-isu masyarakat Melayu di kawasan tersebut dan kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji-janji manifesto sewaktu PRU14 juga memberi kelebihan kepada parti itu.

"Kesemua janji-janji manifesto tersebut hanya akan menjadi 'periuk api'kepada PH kerana rakyat pasti bertanyakan perkara itu dalam setiap kempen mereka dan ia juga menunjukkan seolah-olah kerajaan hari ini tidak memberi penekanan terhadap orang Melayu di situ.

"Oleh itu sentimen yang wujud menyebabkan orang Melayu akan mengundi BN dan bukan Melayu akan memihak kepada PH," katanya.

BN ada kelebihan

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed turut memberi pandangan sama bahawa calon BN dilihat cenderung memenangi PRK kali ini.

Menurutnya, berdasarkan respon di media sosial dan kehadiran di ceramah-ceramah dibuat kedua-dua parti, sokongan dilihat banyak menjurus kepada BN kerana isu dibawa lebih mirip kepada kebajikan orang-orang Melayu serta kedudukan agama Islam.

Zakaria. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zakaria. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Isu-isu ini kerap diulang dalam kempen BN termasuk berkaitan kegagalan PH laksanakan manifesto. Ia pasti beri kesan dalam menarik undi orang Melayu kepada BN.

"Melihatkan kepada trend ini, ia jelas menyebelahi BN. Namun baki kempen masih ada dan jika PH mampu pecahkan sebahagian undi daripada kelompok yang mengundi BN dan PAS sebelum ini termasuk mengetengahkan strategi konkrit di saat akhir, peluang untuk mereka menang mungkin ada," katanya.

PRK Semenyih menampilkan saingan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan chee Heng yang dikenali sebagai 'uncle kentang'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!