Kerajaan wajar tingkatkan i-Citra daripada RM5,000 ke RM10,000

Shazali ketika menjadi panelis program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Shazali ketika menjadi panelis program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat kerajaan wajar meningkatkan pengeluaran i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagaimana dilaksanakan menerusi i-Sinar sebelum ini.

Pakar Ekonomi Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kenaikan jumlah pengeluaran wang simpanan tersebut penting kepada golongan M40 terutama mereka yang telah diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan.

Katanya, golongan berkenaan mempunyai komitmen yang banyak seperti membayar ansuran kereta, rumah dan sebagainya.

“Simpanan M40 biasanya lebih tinggi berbanding B40. Sebagai contoh, orang yang M40 kalau umur dia 48 tahun, saya kira mereka ada lebih kurang RM500,000 dalam KWSP.

“Jadi, apa salahnya kalau kita bagi lebih ataupun mempercepatkan pengeluaran mereka sementara menunggu umur 50 tahun. Kita bagi dulu separuh supaya mereka boleh gunakan bagi tujuan yang sangat penting ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Program yang dikendalikan Ismail Adnan itu turut menampilkan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma dan Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita, Nuraizah Shamsul Baharin sebagai panelis jemputan.

Artikel Berkaitan:

Program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, Shazali berkata, konsep KWSP perlu diubah suai mengikut perkembangan situasi semasa yang ia bukan sahaja bertujuan untuk simpanan hari tua, tetapi simpanan pada saat kecemasan.

“Kita berada di norma baharu, jadi peraturan pun perlu berubah. Tak boleh ikut peraturan yang lama. Kita seharusnya memudahkan urusan mereka untuk mengeluarkannya supaya wang ini boleh digunakan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi.

“Ini kerana setiap wang yang dibelanjakan oleh mereka juga akan membantu industri-industri lain dalam pertumbuhan ekonomi di dalam negara. Justeru, agensi-agensi melibatkan perbankan perlu kreatif.

“Jangan semua orang kita bagi secara pukal iaitu RM1,000 sebulan. Perlu ikut situasi atau keadaan individu itu juga. Kita perlu buat kerja lebih sikit untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai moratorium bayaran pinjaman bank selama enam bulan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), beliau berkata, berlaku ketidakadilan pihak bank kepada peminjam apabila mereka mengenakan caj tambahan atau penalti lewat bayar.

“Ramai orang tak puas hati. Mereka kata perlu bayar lebih banyak daripada yang sepatutnya. Di sini kita lihat pihak bank mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

“Jadi, kita jangan caj faedah. Katakan faedah lima peratus, kalau RM6,000 maknanya untuk enam bulan hanya perlu bayar RM150 sahaja. Kalau lebih daripada ini, maka berlaku penganiayaan kepada peminjam,” katanya.

Sehubungan itu, Shazali berkata, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau bank-bank di bawahnya supaya masing-masing tidak mengambil kesempatan terhadap peminjam.

“Letakkan satu standard hanya faedah ke atas enam bulan penangguhan sahaja, bukan menambahkan lagi jumlah pinjaman secara keseluruhan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!