PBT tiada kuasa tamatkan lesen kilang di Selangor: Exco
SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatal, menamat atau menarik lesen serta kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri, Ng Sze Han berkata, bidang kuasa PBT ketika ini adalah berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik pegawai kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19.
"Sejak 18 Mac, penentuan Tatacara Pengendalian Piawai ataupun SOP yang dipatuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342. Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di hampir seluruh Negeri Selangor.
"Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik pegawai kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam PKP kali pertama yang bermula pada 18 Mac lalu pegawai-pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui Seksyen 3(1) adalah Pegawai Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurutnya, bidang kuasa tersebut meliputi penentuan sektor sosial yang dibenarkan, kawalan pergerakan termasuk pergerakan merentas daerah atau negeri, sektor ekonomi dan premis yang boleh beroperasi atau diarahkan tutup, serta proses penentuan kesalahan dan penalti terhadap syarikat atau individu didapati ingkar syarat yang ditetapkan.
Katanya lagi, pada 3 Mac lalu, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri juga meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat
(Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan PBT agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas SOP.
"Harus diingat, pindaan di atas bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang. Pindaan itu dibuat bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dengan arahan kerajaan Persekutuan.
"Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan Persekutuan. Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh," katanya
Tambahnya, operasi tersebut dilaksanakan oleh satu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) diketuai Kementerian Dalam Negeri yang mana PBT Negeri Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!