Tak wajar guna wang bantuan jelaskan yuran PIBG
KUANTAN - Pihak sekolah tidak sewajarnya memotong wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan kerajaan kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah bagi membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Naib Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, pembayaran itu telah dibuat buat bermula minggu lalu disebuah sekolah di daerah ini.
“Saya terkejut apabila menerima aduan dan rungutan dari beberapa ibu bapa yang hadir untuk mengambil bantuan tersebut di sekolah, tetapi ada guru yang mendesak ibu bapa agar wang tersebut diserahkan kepada sekolah untuk membayar yuran PIBG.
“Saya kesal kerana ada sekolah menyalahgunakan wang bantuan kerajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai aduan ibu bapa berkaitan pemotongan wang bantuan sekolah.
Beliau berkata, wang tersebut membantu meringankan beban mereka setelah banyak membelanjakan wang bagi membeli peralatan dan pakaian sekolah anak-anak.
"Apabila wang tersebut diserahkan kepada ibu bapa, terpulanglah kepada ibu bapa sama ada untuk memotong terus bagi membayar yuran PIBG atau tidak.
“Pihak sekolah tidak wajar mendesak lebih-lebih lagi memaksa ibu bapa menjelaskan yuran dengan menggunakan duit bantuan berkenaan.
“Bayangkan, ada ibu bapa yang kurang berkemampuan yang datang ke sekolah dari jauh semata-mata untuk mendapatkan duit bantuan tersebut, tetapi terpaksa balik itu tangan kosong apabila wang tersebut digunakan untuk membayar yuran PIBG atas desakan pihak sekolah,” katanya.
Wan Fauzuldin berharap, perkara seperti ini tidak berlaku dan pihak pengurusan sekolah perlu memantau perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!