DBP, Indonesia kongsi kepakaran pengembangan bahasa Melayu
SHAH ALAM - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menjalin kerjasama dengan Perpustakaan Nasional Indonesia (Perpusnas) dan Komite Buku Nasional Indonesia (KBNI) untuk berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang penyelidikan, penerbitan dan pengembangan bahasa Melayu.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehudin Abang Shokeran berkata, perkara itu telah dicapai semasa kunjungan rasmi ke Perpusnas dan KBNI pada 22 Februari lalu.
Menurut beliau, jalinan kerjasama itu dibentuk susulan lawatan kerja Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ke Jakarta dan pertemuan beliau dengan Menteri Agama dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia bagi menjalinkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan bulan lalu.
“Kini telah disusuli dengan pertemuan DBP, Perpustakaan Nasional Indonesia dan Komite Buku Nasional Indonesia (KBNI),” kata beliau kepada Sinar Harian.
Katanya, buat masa ini DBP juga menjalankan kajian ke atas manuskrip Melayu dan sekiranya ada mana-mana pustakawan atau penyelidik dari Perpusnas yang ingin menjalankan penyelidikan, DBP akan memberikan insentif ke atas usaha tersebut.
"Kami berharap jalinan kerjasama terutama dalam bidang kajian manuskrip Melayu ini direalisasikan," kata beliau.
Kata beliau, perbincangan jalinan kerjasama telah diadakan bersama Ketua Setiausaha Perpusnas, Sri Sumekar dan Ketua Pusat Jasa dan Informasi, Yahyono serta Ketua Bidang Transformasi Digital, Moh. Kodir.
Tambah beliau, Sri Sumekar ada memberitahu yang pihaknya akan memaklumkan hasrat DBP kepada Ketua Perpusnas dan akan menyediakan memorandum persefahaman untuk dimeterai oleh kedua-dua pihak.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Prof. Madya Dr. Mior Harris Mior Harun.
Menurut Abang Sallehudin, DBP turut berhasrat mengadakan kerjasama dengan Perpusnas dalam aspek kajian dan pertukaran koleksi, penerbitan, alih bahasa, dan pertukaran pegawai bagi tujuan menjalani latihan ikhtisas dan perkongsian kepakaran.
Beliau berkata, DBP tertarik dengan cara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menghantar pegawai ke Indonesia untuk mempelajari bidang permuliharaan bahan-bahan penerbitan pada setiap tahun.
DBP yakin kerjasama yang dijalin akan memberikan manfaat kepada DBP dan Perpusnas dalam usaha melestarikan khazanah warisan serumpun.
Perpusnas memiliki tidak kurang 11,800 naskhah lama tentang kepelbagaian masyarakat, antaranya Bugis, Sunda, Jawa dan Makassar.
Sebahagian besar koleksi ini telah melalui proses pendigitalan agar mudah dibaca dan dikaji oleh para pengkaji dan masyarakat.
Menurut Abang Sallehudin lagi, DBP juga akan menjalin kerjasama dengan KBNI untuk mengadakan program pertukaran pegawai bagi meningkatkan pengalaman dan pendedahan bagi kedua-dua pihak dan turut mengundang pihak KBNI ke Malaysia untuk sesi perkongsian pengalaman.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan memorandum persefahaman dalam bidang pemasaran buku, dan berkolaborasi dalam Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt di Jerman untuk mempromosikan pelbagai warisan Malaysia-Indonesia yang mempunyai nilai komersial ke peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!