'Nak masuk Kelantan sertakan keputusan ujian calitan Covid-19'
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya individu dari luar yang ingin memasuki negeri ini diwajibkan mengemukakan keputusan ujian calitan.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia antara usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Menurutnya, keputusan ujian calitan itu perlu dilampirkan bersama surat permohonan rentas negeri yang diluluskan oleh polis.
"Kelantan kini merekodkan tiga kluster baharu yang dicetuskan oleh aktiviti rentas negeri bagi tujuan kecemasan membabitkan masing-masing dua dari Kuala Lumpur dan Selangor manakala satu dari Melaka," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.
Beliau memberitahu, kebanyakan individu yang berada di Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai risiko tinggi terkena jangkitan berdasarkan situasi ketika ini kerana kebanyakan mereka yang positif tidak mempunyai simptom.
Dr Izani berkata, individu yang mendapat kebenaran merentas negeri juga diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
"Kerajaan negeri bimbang jika langkah awal tidak diambil penularan Covid-19 yang telah reda ketika ini akan kembali parah sebagaimana sebelumnya," katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang mahu bertemu keluarga perlu memastikan kebersihan diri dan sentiasa memakai pelitup muka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!