Buruh dibelasah selepas bertengkar kerana bunyikan hon

Mangsa yang dipukul orang ramai di tepi jalan Pasir Tumbuh pada petang Selasa. - Foto tular laman sosial
Mangsa yang dipukul orang ramai di tepi jalan Pasir Tumbuh pada petang Selasa. - Foto tular laman sosial
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh cedera dipukul selepas berlaku pertengkaran yang dipercayai berpunca kerana membunyikan hon kereta di tepi jalan Pasir Tumbuh di sini pada petang Selasa.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang menyebabkan lelaki berusia 30 tahun itu bengkak dan lebam pada bahagian muka serta badan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 9.30 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan kaki berseorangan pulang dari tempat kerjanya di Lundang di sini.

Menurut beliau, kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki seorang lelaki dan tiga perempuan yang menurut mangsa, dia mengenali mereka.

“Kejadian bermula apabila pemandu dikatakan membunyikan hon dan berhentikan kereta.

“Berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek kedua-dua pihak selain dalam rakaman video yang tular menunjukkan pengadu (mangsa) menendang kereta hingga membawa kepada pergaduhan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang berusia 30 tahun dipukul orang ramai di lokasi kejadian di tepi jalan Pasir Tumbuh pada petang Selasa. - Foto tular laman sosial
Mangsa yang berusia 30 tahun dipukul orang ramai di lokasi kejadian di tepi jalan Pasir Tumbuh pada petang Selasa. - Foto tular laman sosial

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, tindakan itu menyebabkan mangsa dipukul oleh beberapa orang awam lelaki yang tidak dikenali termasuk seorang wanita.

“Punca pergaduhan sebenar masih dalam siasatan kerana satu pihak lagi belum tampil membuat laporan polis dan ujian saringan air kencing mangsa didapati negatif dadah.

“Mangsa yang mengalami kecederaan bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan dibawa ke hospital bagi rawatan dan pemeriksaan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta mereka yang menyaksikan dan merakamkan kejadian agar hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi membantu siasatan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sesuatu perkara seumpama ini kerana salah dari segi undang-undang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!