PPV ditutup bukan tiada vaksin: MB Perak
IPOH - Kerajaan Perak mengakui beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu ditutup sementara tetapi bukan disebabkan kekurangan vaksin yang diterima.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penerimaan vaksin di negeri ini berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurutnya, bagaimanapun penutupan sementara PPV itu dilakukan bagi memberi ruang kepada petugas yang terlibat bercuti.
"PPV yang ditutup ini bukan berterusan tetapi nak beri peluang petugas dan kakitangan berehat supaya sentiasa ada motivasi untuk teruskan tugas itu.
"Sebahagian PPV ini kita tutup untuk bagi mereka (petugas) rehat. Bekalan vaksin yang diterima ketika ini cukup untuk kegunaan kita," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, Perak sedang berusaha untuk sampai ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan membolehkan lebih banyak sektor dibuka.
Katanya, dalam usaha ke arah itu, kerajaan negeri perlu memastikan jumlah purata kes positif Covid-19 sehari tidak melebihi 150 kes secara berterusan selain mengurangkan kes kemasukan ke hospital akibat pandemik itu.
"Usaha kini digiatkan dengan memperbanyakkan lagi bilangan penerima vaksin selain menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat di Perak supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama ketika menjalankan ibadah korban pada minggu hadapan.
Menurutnya, pematuhan tersebut penting bagi mengelak tercetusnya kluster berkaitan ibadah tersebut yang sekali gus mampu menjejaskan perancangan Perak untuk melangkah ke fasa ketiga PPN.
Sementara itu, Saarani turut mengumumkan pengagihan sebanyak 287 ekor lembu sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) kepada 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Katanya, setiap kawasan DUN termasuk pembangkang akan menerima sekurang-kurangnya empat ekor lembu untuk diagihkan ke masjid, surau atau rumah sembelihan terpilih.
"Agihan lembu korban ini akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam manakala bagi ADUN bukan beragama Islam akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah.
"Proses serahan berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN ini akan bermula esok iaitu 15 Julai 2021," katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, satu garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat akan diedarkan bagi memastikan pelaksanaan program ini berlandaskan tuntutan syarak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!