2 lelaki ditahan cuba seludup 3.7 tan daun ketum ke Kelantan
ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki serta merampas 3.7 tan (3,700 kg) daun ketum yang cuba diseludup ke Kelantan dalam satu tangkapan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Baling-Gerik berdekatan Simpang Tiga Jerai, Kupang, dekat Baling, tengah malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Baling, Seperintendan Shamsudin Mamat berkata, dua lelaki yang berumur 20 dan 37 tahun itu menaiki lori 10 tan dari arah Kupang ke Gerik, ditahan di SJR berkenaan pada 12.10 tengah malam.
“Anggota polis yang melakukan pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai longgokan 370 guni plastik berwarna kuning yang berisi daun ketum dan setiap satu guni dianggarkan seberat 10 kilogram.
“Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori dan penjaga stor itu terlebih dahulu telah menghantar barangan lain ke Perlis dan sepatutnya pulang ke Johor Bharu, Johor selepas itu,” katanya ketika sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Polis Daerah Baling Kedah pada Rabu.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah mengambil upah berjumlah RM10,000 untuk membawa daun ketum itu ke Kelantan dan sepatutnya pulang ke Johor Bharu selepas membuat penghantaran terbabit, bagaimanapun tidak berjaya selepas ditahan polis.
Shamsudin berkata, kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah itu ditahan reman bermula Rabu hingga 17 Julai untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 5(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!