Generasi kedua harap peneroka balas kepercayaan kepada Felda
BUKIT KAYU HITAM - Peneroka generasi kedua Felda Bukit Tangga di sini bersyukur dan mengharapkan warga peneroka membalas kepercayaan Felda selepas kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui pelarasan pinjaman bersyarat.
Peneroka generasi kedua Felda Bukit Tangga, Mohammad Fazley Ahmad, 36, berkata, kepercayaan itu antaranya dengan cara peneroka dapat menghantar hasil kepada Felda supaya lembaga kemajuan tanah itu lebih maju untuk membuat rancangan masa hadapan sekali gus mewujudkan situasi menang-menang.
“Pelupusan hutang ini menunjukkan kesungguhan kerajaan mencari pendekatan terbaik untuk membantu peneroka membayar hutang pinjaman mengikut kemampuan masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di Felda Bukit Tangga.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Tangga Ahmad Man, 63, berkata, keputusan berkenaan memberikan kelegaan kepada peneroka di situ kerana inisiatif tersebut dapat meringankan beban mereka dalam memenuhi perbelanjaan dan keperluan keluarga.
“Sebelum ini saya tidak terfikir dan tidak ada harapan pun untuk dapat pelupusan (hutang), sebab pelupusan itu tidak logik kerana perbelanjaan Felda ini pun kita tahu besar untuk operasi tanam semula dan macam-macam yang banyak guna kos, kalau kita hendak minta pelupusan ini tidak patutlah.
“Tetapi apabila kerajaan umum ada pelupusan ini, rasa Alhamdulillah, syukur,” katanya yang turut memberitahu terdapat 370 peneroka di Felda Bukit Tangga.
Ahmad berkata, hutang asal pinjaman beliau sendiri dengan Felda berjumlah RM198,194.24 dan sekiranya berlaku pelupusan 80 peratus, hutang itu akan menurun kepada RM23,294.91 iaitu berkurangan sebanyak RM174,899.33 dengan kadar bayar bulanan hanya RM139 sebulan.
Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Tangga Zaleha Harun, 59, pula mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang begitu prihatin terhadap bebanan pinjaman peneroka sekali gus dapat membantu peneroka yang terkesan dengan keadaan pandemik sekarang.
“Segala bebanan itu ringanlah bagi kami, kami tidak ada sumber yang lain, hanya itu sumber pendapatan (menoreh getah)...tambahan sekarang dengan PKP kawalan pergerakan, tidak ada kerja, anak-anak yang terputus kerja pun balik ke kampung menoreh, banyak juga anak-anak yang kena buang kerja,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: RM8.3 bilion hutang peneroka Felda dilupus
Sehubungan itu, Zaleha sangat mengharapkan inisiatif itu terus kekal meskipun sekiranya berlaku perubahan dalam pentadbiran kerajaan dan pelupusan hutang itu perlu dilakukan dengan telus tanpa sebarang agenda tersembunyi.
Pengurus Felda Bukit Tangga Mohd Azhar Azizan berkata,,tawaran pelupusan pinjaman itu dianggap sangat istimewa buat warga peneroka kerana sekiranya mereka menerima tawaran berkenaan peneroka boleh menikmati bayaran balik bulanan antara RM140 hingga RM160.
Mohd Azhar berkata, peneroka boleh menerima tawaran itu atau sebaliknya, kerana tiada paksaan namun jika tawaran itu diterima, peneroka akan terikat dengan perjanjian antara lain mereka perlu menghantar hasil kepada pihak Felda sahaja.
Beliau berkata, perjanjian ini boleh diibaratkan sebagai manfaat bersama yang mana hutang peneroka berkurangan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka dan pihak Felda boleh memanfaatkan hasil untuk memastikan keharmonian dan kelestarian tanah rancangan Felda.
Pada Rabu minggu lepas (7 Julai), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!