HTAR terima dua lagi kontena urus mayat

Hospital Tengku Ampuan Rahimah - Foto sumber internet
Hospital Tengku Ampuan Rahimah - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bakal menerima tambahan dua lagi kontena daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk mengendalikan kebarangkalian pertambahan jumlah mayat, susulan situasi wabak Covid-19 yang dihadapi Selangor ketika ini.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, dengan tambahan kontena itu, HTAR memiliki empat kontena bagi menempatkan mayat termasuk satu kontena masing-masing disumbangkan oleh MIC pusat dan satu lagi milik sedia ada jabatan berkenaan yang boleh memuatkan 120 mayat.

“Dengan empat kontena tersebut dan ditambah lagi dengan kemudahan sedia ada di bilik menempatkan mayat serta jenazah di Jabatan Forensik, kita mampu menempatkan anggaran maksimum sekitar 150 mayat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas berhubung keadaan mayat yang tidak dapat diuruskan dengan rapi di Jabatan Forensik hospital itu susulan kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) untuk menguruskan mayat Covid-19, Dr Zulkarnain berkata, perkara berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan dan aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kerjasama tersebut adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah bersama pihak ATM.

Selain itu, Dr Zulkarnain memberitahu, HTAR yang dijadikan sebagai Hospital Hibrid Covid-19 memaklumkan pihaknya masih menerima kes selain Covid-19 khususnya kes-kes kecemasan melibatkan kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung.

”Kes tersebut kita masih terima dan HTAR juga ada merujuk kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung kepada Hospital KPJ Selangor di Shah Alam dan KPJ Klang,” katanya.

Menurutnya, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibuat antara KKM dengan Hospital KPJ sejak Jun lepas, HTAR setakat ini sudah merujuk lebih kurang 20 pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di dua hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan buat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum pesakit dirujuk ke hospital berkenaan serta kos perbelanjaan pesakit juga ditanggung kerajaan,” katanya.

Mengenai mobilisasi petugas perubatan dari luar Lembah Klang, beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 20 orang petugas kesihatan dari Perlis untuk membantu pengurusan di hospital terbabit. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!