Jeti uzur sejak 10 tahun dibaik pulih
KOTA TINGGI - Setelah hampir 10 tahun menikmati kemudahan uzur, nelayan Kampung Tembioh di sini menarik nafas lega apabila jeti nelayan di kampung berkenaan siap dibaik pulih.
ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, peruntukan sebanyak RM20,000 dari pejabatnya diturunkan bagi melakukan kerja baik pulih berkenaan.
Menurutnya, ia juga merupakan peruntukan pertama dari pihaknya yang diluluskan untuk manfaat penduduk kawasan berkenaan.
Katanya, kerja baik pulih berkenaan melibatkan kerja membetulkan semula pondok atau rumah rehat jeti dan platform untuk naik dan turun ke laut.
"Saya difahamkan jeti ini telah uzur sejak kira-kira 10 tahun lalu. Ada diantara papanya yang telah tercabut sementara platformnya tiada pelampung.
"Ini sekali gus menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan nelayan. Bahkan ada berlaku kemalangan kecil melibatkan nelayan yang tergelincir ketika menggunakan jeti ini sebelum ini,"katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, nelayan tidak mahu jeti yang besar, sebaliknya cukuplah sekadar sebuah jeti yang selamat dan selesa digunakan.
Jelasnya, lebih 40 nelayan kawasan berkenaan yang mempunyai lesen dan masih aktif ke laut.
"Alhamdulillah nelayan di sini gembira dengan kerja baik pulih dilakukan. Mereka bersyukur kerana soal keselamatan mereka terutamanya apabila pulang dari laut pada waktu malam ketika menggunakan jeti itu sudah tidak dibimbangi lagi.
"Kita harap nelayan guna jeti ini sebaik mungkin untuk mencari rezeki. Sama-samah menjaga kemudahan yang telah dibaik pulih ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!