Tanah rizab Felda kena ceroboh?

Kawasan tanah rizab Felda Lurah Bilut. Gambar kecil, Zulkefli
Kawasan tanah rizab Felda Lurah Bilut. Gambar kecil, Zulkefli
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah 343 hektar tanah di Felda Lurah Bilut dekat sini didakwa diceroboh sejak sembilan tahun lalu oleh pihak luar dengan menjalankan aktiviti penanaman durian dan sawit.

Generasi kedua Felda tersebut, Mhd Zulkepli Abdullah Amlaki, 63, mendakwa meskipun telah beroperasi sekian lama namun pihak-pihak bertanggungjawab yang diadukan perkara ini tidak membuat sebarang tindakan mahu pun siasatan.

Menurutnya, lokasi tanah tersebut terletak tidak jauh dengan Wilayah Mempaga dan adalah mustahil pihak bertanggungjawab tidak menyedarinya bahkan beliau dan penduduk juga pernah mengemukakan memorandum.

“Sekitar tahun 2009 hingga 2010, saya dan beberapa lagi generasi kedua memohon untuk mengusahakan tanah rezab tersebut.

“Sebelum pilihan raya kami buat permohonan nak usahakan tanah itu. Kami juga ada buat perhimpunan aman dan menghantar memorandum kepada Menteri Besar ketika itu dan Pengerusi Felda, bagi membantah ia diusahakan pihak luar dan bukan generasi Felda.

“Selepas PRU 13 saya dan beberapa lagi dipanggil menemui Menteri Besar dan ketika itu mereka kata akan melihat perkara ini tapi malangnya ia berlarutan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau mendakwa, permohonan mereka bukan sahaja tidak mendapat maklum balas bahkan mendapati tanah tersebut telah diusahakan pengusaha luar yang menanam durian dan sawit.

“Kami pelik kenapa pihak luar dibenarkan mengusahakan tanah itu. Masa kami nak Felda kata nak guna? Tapi sekarang dah bertahun-tahun ada pihak usahakan tanam sawit dan durian.

Artikel Berkaitan:

Beri peluang generasi kedua

“Apa status tanah itu sekarang dan kenapa kami generasi kedua tidak layak untuk mengusahakannya? Bukankah Felda juga boleh mendapat cukai sekiranya kami mengusahakannya?,” katanya.

Mhd Zulkepli berkata, perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada pengetahuan pejabat Felda Wilayah tersebut.

Malah dakwanya sejumlah lebih 300 penduduk berhimpun menghantar memorandum tersebut, sebagai menyatakan bantahan kerana tanah itu diserahkan kepada orang luar.

SGBF terima aduan daripada peneroka

Sementara itu, Penasihat Suara Baru Generasi Felda (SGBF), Datuk Zulkefli Nordin ketika dihubungi memaklumkan telah menerima aduan dari beberapa pihak di tanah rancangan tersebut dan sedang menyiasat kebenaran dakwaan itu.

“Ya SGBF ada menerima aduan tersebut lengkap dengan bukti bergambar dan segala butiran tindakan mereka sebelum ini. Namun tiada tindakan dan tidak diberikan perhatian pihak sepatutnya malah ia berlarutan sehingga kini.

“Jika benar, bagaimana ini boleh terjadi? Salah siapa? Saya difahamkan lebih separuh ekar dari keseluruhan lebih 800 ekar tanah milik Felda berstatus Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967di Felda Lurah Bilut, Pahang telah diceroboh agak lama oleh penceroboh haram dengan menanam tanaman durian dan sawit.

“Sawit dah bertahun tahun keluar hasil. Mustahil tiada seorang pun di Felda dan agensi agensi yang berkaitan menyedarinya. Malah lebih menyedihkan permohonan anak anak peneroka Felda tersebut bertahun tahun sebelum ini tidak dilayan tetapi tokey-tokey dari luar Felda pula dibiarkan menceroboh tanah milik Felda sesuka hati,” katanya.

Zulkefli berkata, SGBF berharap pengurusan Felda yang baru untuk mengambil tindakan.

“Siasat aduan ini. Jika benar, semua yang terlibat perlu diambil tindakan tegas bahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga perlu terlibat dalam siasatan aduan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Mat Zulkifli Mat Naam ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan daripada SGBF berkenaan perkara tersebut dan pihaknya akan ambil tindakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!