Azmin bertemu Presiden Turki
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatannya ke negara berkenaan.
Gambar pertemuan Azmin ke atas Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara, Turki itu turut dikongsi menerusi Twitternya pada Rabu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, Erdogan menyatakan solidariti negara berkenaan bersama-sama Malaysia bagi membendung wabak Covid-19.
“Beliau (Erdogan) juga menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mencapai pengiktirafan berkaitan vaksin,” katanya.
Menurut MITI, Azmin juga menyatakan harapan Malaysia untuk kedua-dua negara keluar dari cabaran wabak Covid-19 dan akan lebih kuat bagi menuju pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.
“Presiden Erdogan menekankan pentingnya meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Turki termasuk melalui Malaysia-Turki FTA (MTFTA).
“Beliau menyatakan bahawa potensi penuh perdagangan antara Malaysia dan Turki belum dapat direalisasikan. Beliau kemudiannya menekankan perlunya kedua-dua negara bekerjasama untuk meningkatkan jumlah perdagangan sedia ada,” katanya.
MITI menambah, Azmin kemudiannya mengulangi komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan perdagangan membabitkan kedua-dua negara.
Azmin baru-baru ini menerima kritikan selepas sekeping fotonya di lokasi bersejarah Hagia Sophia di Istanbul, Turki tular di media sosial yang didakwa bersama keluarganya.
Foto tersebut menunjukkan Azmin berdiri bersama seorang pemandu pelancong warga Turki di sebuah lokasi di negara itu.
Bagaimanapun, anak perempuannya, Amira Azmin menjelaskan bahawa keluarganya tidak berada di luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!