Messi masih di Barcelona
BINTANG Argentina, Lionel Messi dijangka menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama kelab liga Sepanyol, Barcelona dengan pengurangan gaji, menurut laporan media Sepanyol.
Penyerang berusia 34 tahun yang merupakan penjaring sepanjang masa Barca, secara teknikalnya mengakhiri kontrak selama 21 tahun bersama Blaugrana di Camp Nou bulan lalu kini adalah ejen bebas.
Sejak Joan Laporta mengambil alih jawatan presiden Barca, kelab Catalan tersebut berusaha mengurangkan perbelanjaan gaji dalam usaha mengekalkan Messi selain mematuhi peraturan kewangan ditetapkan La Liga.
Presiden La Liga, Javier Tebas sebelum ini memberi amaran kepada gergasi Sepanyol tersebut bahawa kelab itu mungkin tidak boleh mendaftarkan Messi sekiranya tidak membuat pemotongan perbelanjaan dalam pasukan itu.
Kontrak terakhir Messi pada 2017, menurut media Sepanyol adalah yang paling menguntungkan dalam dunia sukan.
Pada ketika ini, Barcelona berusaha untuk membentuk semula kekuatan kelab tersebut dengan penjualan Junior Firpo, Jean-Clair Todibo dan Carles Alena bagi memberi laluan masuk secara percuma kepada Sergio Aguero, Memphis Depay dan Eric Garcia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!