Belajar 'online' terlalu lama beri kesan prestasi pelajar

Kelas PdPR membuatkan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum menjadi terhad. - Gambar hiasan.
Gambar kecil: Asril Ariff Abdul Malik
Kelas PdPR membuatkan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum menjadi terhad. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Asril Ariff Abdul Malik
A
A
A

ALOR SETAR - Pembelajaran secara dalam talian dalam tempoh lama bukan sahaja memberi kesan terhadap prestasi pelajar, malah komitmen guru dan ibu bapa juga turut berdepan kesukaran.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Asril Ariff Abdul Malik berkata, bukan semua pelajar mudah menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang baharu ini.

Menurutnya, faktor sekeliling seperti berkongsi gajet dan ketidakstabilan talian internet antara punca pelajar hilang minat untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah tidak mustahil ada pelajar langsung tidak dapat fokus dalam kelas virtual kerana gangguan daripada persekitaran rumah.

“Kelas PdPR membuatkan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum menjadi terhad. Ia akan memberi kesan negatif kepada pelajar yang rata-rata mahu sekolah dibuka semula.

"Kelas virtual yang menghadap gajet setiap hari sebenarnya agak membosankan bukan sahaja kepada pelajar malah guru sekalipun,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Asril Ariff berkata, sesetengah pelajar akan mudah hilang tumpuan dalam pembelajaran ketika mengikuti kelas dalam talian, antaranya disebabkan lebih tertarik pada pelbagai aplikasi lain yang lebih menyeronokkan.

“Tarikan media sosial dan permainan dalam talian boleh memberi gangguan kepada pelajar. Mereka hilang minat dan cuba beralih kepada aplikasi lain dan mula bosan ketika PdPR yang kebanyakannya satu hala.

"Selagi kes harian belum menurun ke paras tiga angka, sudah pasti ibu bapa risau sekiranya sekolah dibuka semula. Malah rutin harian ibu bapa juga turut terganggu dengan jadual belajar anak-anak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelajar dan guru seakan hilang arah kerana mereka tidak tahu hala tuju kelas PdPR selain bilakah ia akan berakhir.

“Kerisauan pelajar dalam kadar jangkitan Covid-19 perlu diberi perhatian. Semakin ramai rakyat dijangkiti setiap hari, menyebabkan timbul rasa gusar dalam diri masing-masing.

"Kes Covid-19 yang mencanak naik sudah pastinya menggusarkan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Minat untuk belajar semakin pudar’

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!