Anyaman tudung saji wanita OKU dapat permintaan
TEMERLOH - Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Begitulah kata-kata yang menggambarkan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.
Husin Yakub, 73, dari Kampung Telok Tekal, Kuala Krau sedaya upaya memastikan anak perempuannya, Mariani Husin, 37, yang kurang upaya tidak terpinggir dan mampu berdikari seperti individu normal.
Mariani, anak sulung daripada tiga beradik itu mengalami kecacatan pendengaran dan pertuturan sejak lahir mempunyai kemahiran menghasilkan tudung saji anyaman sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Husin, anyaman tudung saji dengan corak warna-warni dengan jalinan unik yang dihasilkan anaknya berjaya menarik perhatian orang ramai.
"Saya menyokong sepenuhnya usaha yang dilakukan oleh anak dan tidak memaksa kerana sedar dengan kemampuannya," kata Husin kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Husin, anaknya mula mempelajari anyaman daripada seorang rakannya pada 2015.
"Peringkat awal, Mariani menganyam tudung saji menggunakan reben kertas sebelum dia beralih menggunakan reben satin kerana hasilnya lebih cantik," jelasnya.
Sebelum pandemik Covid-19, Mariani menjual hasil kerja tangannya di Pekan Sehari Temerloh.
Demi menyokong usaha anaknya, Husin juga sanggup membelikan motosikal untuk Mariani membawa hasil anyaman ke pekan sehari tersebut.
Bagi memasarkan hasil kerja tangan anaknya, Husin turut membantu mempromosikan hasil anyaman Mariani di laman Facebook miliknya, Husin Yakub.
“Alhamdulillah, permintaan tudung saji ini semakin meningkat selepas beberapa doktor dan jururawat melihat hasil anyaman Mariani ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pada Ramadan baru-baru ini.
“Boleh dikatakan, anak tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang tinggi. Bahkan, kita terpaksa menolak tempahan kerana kami hanya memfokuskan pada pasaran setempat iaitu di Temerloh dan Jengka,’’ ujarnya.
Dia yang sebelum ini pernah bekerja di kilang sebelum bertukar ke kedai makan. Bagaimanapun, dia hilang sumber mata pencarian kerana kedai tersebut menghentikan operasinya.
Menurut Husin, tudung saji bersaiz besar dijual pada harga RM70, manakala yang kecil pula RM35.
Apa yang membanggakan Husin, Mariani kini boleh berdikari sama seperti individu lain.
"Saya sentiasa menyokong usahanya walaupun pendapatan Mariani agak sederhana," ujarnya Mariani hanya mampu menyiapkan satu tudung saji seminggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!