Malaysia tidak boleh gagal!

Rakyat perlu menghadapinya dengan penuh sabar selain terus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. - Foto Bernama
Gambar kecil dari kiri: Raja Mohamad Hazmi, Muhammad Faiz, Wan Nur Suhailah
Rakyat perlu menghadapinya dengan penuh sabar selain terus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. - Foto Bernama Gambar kecil dari kiri: Raja Mohamad Hazmi, Muhammad Faiz, Wan Nur Suhailah
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia pastinya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi angka menunjukkan pertambahan jumlah pesakit virus berkenaan.

Mahu atau tidak rakyat perlu menghadapinya dengan penuh sabar selain terus mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan terus bersikap positif.

Peniaga, Raja Mohamad Hazmi Raja Hussin, 26, berkata, dalam keadaan ekonomi terjejas, kerajaan tetap memberikan bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Negara kita masih menyediakan peruntukan tidak kira golongan B40, M40 dan T20.

“Sedikit sebanyak ia dapat menampung beban rakyat ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagi penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Muhammad Faiz Mohd Shafee, 24, rakyat Malaysia perlu berpegang teguh kepada slogan ‘Jatuh Bangkit Kita Bersama’ supaya dapat mencapai matlamat bebas Covid-19.

“Buang segala ego dan lupakan segala sengketa yang berlaku terutama bagi mereka yang berada di atas dan masih sibuk dengan kemelut politik kerana ini bukan masanya,” ujarnya.

Kakitangan awam di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Wan Nur Suhailah Wan Draman, 24, berkata, walaupun kes Covid-19 semakin menunjukkan peningkatan, rakyat perlu terus tabah dalam menghadapi penularan wabak tersebut dengan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Rosidayu Sabran, 53, berkata, petugas barisan hadapan sudah semakin lesu dengan tanggungjawab mengawal kesihatan rakyat.

Gambar dari kiri: Rosidayu, Rozihani
Gambar dari kiri: Rosidayu, Rozihani

“Jadi, setiap rakyat perlu terus kuat dan bersemangat untuk menjaga keselamatan diri masing-masing di mana jua berada terutama dalam mematuhi SOP semasa berada di luar.

“Sentiasa berikan mereka semangat, mudahkan tugas mereka dan jangan jadi penghalang kepada usaha mereka membantu pesakit Covid-19 dan kesihatan negara,” jelasnya.

Seorang lagi kakitangan awam, Rozihani Mohamad, 41, berkata, Malaysia mempunyai sifat terpuji dalam membantu orang lain yang dalam kesusahan.

“Kita juga boleh membantu dengan mengenal pasti keluarga, individu yang perlukan bantuan dan salurkan maklumat melalui pelbagai platform dalam talian,” ujarnya.

Bagi pembantu penyelidik di USIM, Mohammad ‘Izzuddin Mohamad Ares, 24, kewujudan laman sesawang KitaJaga.co yang dicipta oleh rakyat tempatan membuktikan keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan yang susah.

Gambar dari kiri: Adib Mursyidi, Mohammad ‘Izzuddin
Gambar dari kiri: Adib Mursyidi, Mohammad ‘Izzuddin

“Dengan kewujudan laman sesawang itu dapat membuka mata ramai orang yang sangat-sangat memerlukan bantuan barang keperluan.

“Ia juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk berbuat kebaikan dengan membantu menerusi laman sesawang tersebut,” katanya.

Pengasas Syarikat Seni Cetakan, Adib Mursyidi Mohd Bukhari, 24, pula berkata, kerajaan sudah mempercepatkan proses vaksinasi kepada seluruh rakyat di mana kita boleh melihat peningkatan pemberian vaksin di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Oleh itu, mana-mana rakyat yang sudah menerima tarikh vaksin untuk hadir ke PPV supaya kita boleh mendapatkan hala tuju negara untuk mencapai 80 peratus herd immunity.

“Orang ramai yang sudah mengambil vaksin diharapkan untuk terus menyebarkan kebaikan kepada semua,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!