Covid-19: SOP agresif perlu dilaksana di Selangor
SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) lebih agresif menggunakan elemen ketenteraan dan pasukan khas polis perlu dilaksanakan di Selangor berikutan peningkatan kes Covid-19 harian tertinggi dicatatkan di negeri itu.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, operasi lebih menyeluruh pasukan keselamatan itu perlu dilaksanakan dengan cara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara zon dan sektoral.
Menurut beliau, setiap individu di kawasan tersebut juga perlu diwajibkan untuk menerima vaksinasi secara tersasar dan menyeluruh tanpa gagal.
"Mereka yang ingkar menerima vaksinasi akan dianggap menyalahi undang-undang.
"Peralatan khusus dan mudah alih untuk kemas kini perisian MySejahtera menggunakan pengemaskinian melalui MyKad akan merekodkan mereka yang telah divaksin secara automatik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Noor Nirwandy turut mencadangkan supaya pusat berskala kecil dan bergerak diwujudkan untuk memberikan vaksin kepada semua penduduk di kawasan terbabit secara menyeluruh.
Jelas beliau, kilang dan kawasan tumpuan orang ramai juga perlu digempur melalui operasi ketenteraan bagi memberkas pekerja dan pemilik premis serta orang awam yang gagal mengikut SOP yang ditetapkan sepanjang operasi khas ala ketenteraan tersebut.
Selain itu katanya, perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong melalui Ordinan Darurat boleh dipertimbangkan untuk terus dipanjangkan di negeri tertentu agar operasi itu boleh dilaksanakan mengikut keadaan semasa.
"Intervensi melalui proses vaksinasi tersasar dan bergerak secara agresif seperti ini perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Masyarakat juga perlu terus bekerjasama dalam kita berjuang untuk memerangi Covid-19.
"Elakkan sentimen ketaksuban politik melampau dan kita kekal fokus dan bekerjasama memerangi pandamik ini," ujarnya.
Beliau memberitahu, kesedaran sivik yang tinggi dan kepatuhan SOP yang maksimum serta inovasi baharu dalam kalangan ahli politik adalah antara kunci kejayaan bagi memerangi Covid-19.
Jelas beliau, kadar pemberian vaksinasi yang semakin tinggi, pendekatan agresif menggunakan elemen vaksinasi bergerak dan tersasar secara menyeluruh serta sokongan elemen ketenteraan dan pasukan khas polis di kawasan tertentu khususnya di Selangor boleh membantu melandaikan keluk penularan Covid-19 dengan segera.
"Kita perlu terus bekerjasama menambah baik formula memerangi Covid-19 dan bersedia menggunakan pendekatan agresif dalam situasi yang boleh mendatangkan kemudaratan pada masyarakat awam," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!