PM tinjau penyediaan Bakul Prihatin Negara
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 dengan memperkenalkan inistiatif terbaharu, program Bakul Prihatin Negara dengan dana permulaan berjumlah RM21 juta.
Program tersebut memanfaat 1.68 juta rakyat di seluruh negara dengan dana sumbangan syarikat korporat sebanyak RM16 juta dan RM5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pengurusan kebajikan rakyat.
“Selagi masalah pandemik Covid-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat.
“Kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka," katanya kepada media selepas meninjau penyediaan bakul makanan di pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara itu di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini pada Khamis.
Berkonsepkan pendekatan masyarakat secara menyeluruh, inisiatif Bakul Prihatin Negara itu melibatkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan diselaraskan oleh KPWKM.
Bakul Prihatin Negara itu adalah hasil cetusan idea Muhyiddin sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Penyampaian bantuan dilaksanakan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.
Selain program tersebut, Muhyiddin berkata, kerajaan setakat ini telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan melibatkan peruntukan RM173.4 juta yang telah memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lepas.
"Sebahagian besar dari kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan," katanya.
Rakyat yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh menghubungi Talian Kasih di 15999, Pejabat JKM Daerah berdekatan atau menyalurkan maklumat menerusi media sosial rasmi KPWKM, katanya.
Hadir sama semasa tinjauan tersebut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Pada acara itu, Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan RM5 juta dengan cek replika disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
AEON yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia, Shafie Shamsuddin pula menyampaikan sumbangan RM4 juta.
Pharmaniaga Bhd yang diwakili Pengerusi Datuk Seri Mohammed Shazaili Ramly, menyampaikan sumbangan RM3 juta; Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din dan Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh pula masing-masing RM2 juta.
Muhyiddin turut menyerahkan vest Skuad Prihatin Negara kepada dua sukarelawan Ahmad Azri Ahmad, 35, dan Azalina Abdul Rahman, 44. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!