Kerajaan pertimbang longgar pergerakan individu lengkap dua dos vaksin

Muhyiddin diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat barang-barang keperluan asas semasa meninjau penyediaan Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat barang-barang keperluan asas semasa meninjau penyediaan Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan diberi kelonggaran tertentu termasuk makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk membuat penilaian semula berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

"Saya fikir sebahagian besar (rakyat) sudah dapat suntikan (vaksin Covid-19).

"Mutakhir sekali saya minta Jawatankuasa Pengurusan (JKJAV) ini menilai semula bagi mereka yang dapat vaksin dua suntikan supaya mereka akan diberikan kelonggaran-kelonggaran, sama ada dari segi perjalanan atau pergi ke kedai atau makan di restoran.

"Ini petanda supaya kita nak tunjukkan sementara kita menguruskan Covid-19, maka kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa yang lepas," katanya kepada media selepas membuat tinjauan penyediaan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini pada Khamis.

Pada masa ini, katanya proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan mengikut jadual.

"Saya harap dalam tempoh beberapa hari ke hadapan, bulan ini dan bulan hadapan, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah," katanya.

Muhyiddin turut meminta semua pihak untuk meletakkan keyakinan kepada kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bersabarlah, jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan, tapi yakinlah dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan NGO (badan bukan kerajaan), kita boleh menang dalam menghadapi 'peperangan' ini," katanya.

Malaysia mula melaksanakan PICK pada 24 Febriari lepas dan setakat ini sebanyak 12,647,558 dos vaksin telah diberikan, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah lengkap dua dos vaksin ialah 4,003,266 atau 12.3 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!