NS benarkan aktiviti jual daging untuk mantai Aidiladha

Aktiviti menjual daging untuk mantai sempena Aidiladha dibenarkan di Negeri Sembilan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Roslin)
Aktiviti menjual daging untuk mantai sempena Aidiladha dibenarkan di Negeri Sembilan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Roslin)
A
A
A

SEREMBAN - Aktiviti menjual daging untuk mantai (tradisi melapah daging) sempena Aidiladha dibenarkan di Negeri Sembilan.

Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd Hamid berkata, kebenaran hanya diberi kepada penjualan daging sudah siap dipotong dan dilapah.

Tegas beliau, aktiviti berkumpulan secara beramai-ramai atau menjalankan ibadah korban di Negeri Sembilan masih tidak dibenarkan berikutan keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan ibadah korban pada tahun ini.

"Tiada masalah kalau setakat menjual daging sudah siap dilapah, termasuk membuat jualan di tepi jalan. Aktiviti menyembelih, memotong, melapah dengan melibatkan orang ramai tanpa kawalan serta tiada penjarakan sosial atau sebagainya sama sekali tidak dibenarkan.

"Aktiviti sembelihan dilakukan di rumah sembelihan berdaftar yang diuruskan oleh Jabatan Veterinar. Kalau untuk penjualan daging tiada halangan kerana ia sama seperti peniaga serta penjaja yang dibenarkan berniaga di bawah kuasa, lesen dan permit PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, bagi daerah Seremban yang masih di bawah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu masa berniaga kekal 8 pagi hingga 8 malam.

Pada Rabu, kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di Negeri Sembilan tahun ini ditangguhkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini berikutan data penyebaran virus Covid-19 di Negeri Sembilan amat tinggi sehingga boleh mewujudkan kemudaratan tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengesan 13 kes dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) terdiri daripada tujuh kes varian Beta dan enam kes varian Delta, di Seremban, Rembau serta Kuala Pilah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibadah korban di NS ditangguhkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!